Bagaimana Memahami Keperluan Famili Anda

Alangkah bahagianya jika anda boleh menjangkakan setiap perkara yang akan berlaku terhadap orang tersayang, tetapi manusia tidak dilahirkan dengan kebolehan sebegitu. Bagaimana mahu memahami keperluan famili anda.

9717403 - happy young family have fun on beach run and jump at sunset

Zaid Mohamad, pakar keibubapaan berkongsi pengalamannya dan beri panduan agar anda boleh merancang keperluan keluarga dengan lebih efisyen. Sebagai ibu bapa, kita adalah penyedia perkhidmatan manakala anak-anak adalah pelanggan. Mereka pasti seronok sekiranya kita menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan berjaya merancang keperluan sebelum mereka minta. Secara tidak langsung, kita juga dapat mengelakkan perkara yang tidak disenangi berlaku seperti anak memberontak kerana permintaan tidak dipenuhi. Sebenarnya, kita semua mempunyai kebolehan ini tetapi tidak semua orang memanfaatkannya. Semakin kerap kita mempraktikkannya, kebolehan ini akan menjadi lebih baik. Jika kita ingin berjaya dalam apa juga yang dilakukan, tidak kira sama ada dalam aspek pekerjaan, pengurusan perniagaan ataupun pengurusan keluarga, kebolehan bertindak lebih proaktif ini mampu memberikan kelebihan tambahan pada kita.
RAMALAN PERUBAHAN KELUARGA
Rasionalnya, kebolehan membuat ramalan membolehkan kita merangka hala tuju keluarga kita selain menolong kita membuat gambaran mengenai masa hadapan. Jika ada sebarang masalah yang bakal terjadi, kita boleh bersedia lebih awal. Ini juga umpama papan tanda di jalanraya yang memberi peringatan kepada orang awam mengenai sesuatu bahaya seperti selekoh tajam atau jalan licin di hadapan. Orang yang berupaya menjangkakan sesuatu lebih awal adalah orang yang mampu mengatasi sesuatu masalah sebelum berlaku. Kita tidak boleh bersaing dengan perancangan semalam dan berharap untuk menang hari ini. Kita patut menjangkakan sesuatu untuk esok dan mula merancang
strategi baru mulai sekarang. Suka atau tidak, dunia sentiasa berubah. Kita yang perlu menyesuaikan diri dengan mengagak apa yang akan berlaku seterusnya. Sebagai ibu bapa, kita juga tidak terkecuali.
Cara yang kita praktikkan hari ini tidak semestinya sesuai untuk mendidik anak hari esok. Sekarang juga sudah wujud “perang generasi” antara gen X, Y, Z dan gen Alpha. Kalau kita masih mengekalkan kaedah
lama untuk membentuk anak, sudah pasti kita akan menghadapi masalah besar kelak. Elakkan sebarang konflik dalam perhubungan pada masa hadapan dan mula bertindak hari ini.
BIAR MENYERONOKKAN
Realitinya, membuat ramalan perjalanan sebuah keluarga tidaklah sukar seperti membuat ramalan hala tuju syarikat korporat. Ini boleh dilakukan secara santai. Membuat persiapan percutian adalah contoh terbaik. 50 peratus daripada keseronokan percutian itu adalah sewaktu kita membuat perancangan dan meramal apa yang kita akan temui di sana. Mungkin kita tidak berasa teruja dengan percutian ini sekiranya tidak dirancang dengan betul atau persiapan dibuat pada saat akhir. Libatkan anak sewaktu merancang percutian. Saya pasti mereka akan memberikan kerjasama yang baik bukan sahaja dalam urusan percutian ini tetapi dalam perkara lain juga. Kemudian, cuba aplikasikan langkah ini kepada perkara yang lebih serius seperti membentuk disiplin dan karektor mereka. Galakkan mereka berfikir apa yang bakal ditempuhi di sekolah, kolej dan dalam dunia pekerjaan kelak. Biarkan mereka membina impian dan sesuaikan diri dengan kehidupan sebenar. Ceritakan kepada anak kisah orang yang berjaya dan cabaran yang mereka lalui. Sekali sekala selitkan juga cerita kegagalan orang lain agar mereka mengambil iktibar daripadanya. Semua kisah ini boleh dijadikan garis panduan kepada anak untuk menempuhi kehidupan. Mereka juga boleh belajar meramal sesuatu melalui pengalaman yang diperolehi. Apabila mereka sudah berjaya menguasai kebolehan ini, ibu bapa boleh tersenyum lega.

The post Bagaimana Memahami Keperluan Famili Anda appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment