‘Selepas Hampir 3 Bulan Bergelar Isteri & Menantu, Kini Bergelar Arwah’ – Luahan Sayu Bapa Mertua Ini Sebak

Percintaan yang berputik sejak dari bangku sekolah akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin. Namun kebahagiaan yang dikecapi mereka termasuklah ahli keluarga terhenti apabila isteri dimasukkan ke hospital akibat demam panas.

Selepas beberapa hari bertarung nyawa di wad ICU, isteri disahkan meninggal dunia. Luahan sayu bapa mertua ini buat kami menitiskan air mata.

Aku dapat pangkat bapa mertua

Jodoh, Rezeki, Ajal…. Ketetapan yang ditulis Allah swt. Manusia hanya mampu merancang dan menerima seadanya ketentuan yang tersirat.

Akad nikah pada Jumaat 26/10/2018 berjalan lancar. Alhamdulillah… Anak ku bergelar ‘suami’ dan aku dapat pangkat ‘Bapa Mertua’. Persandingan belah perempuan di Kem Sg Besi keesokan harinya juga berjalan lancar. Meriah majlis anjurannya berteraskan budaya Melayu. Dengan berbaju Melayu bersisipkan sebilah keris, anakku mengiringi isterinya ke pelamin. Betapa gembiranya hati ini bila menyaksikan kebahagiaan pasangan pengantin. ‘Alhamdulillah, bertambah sorang lagi keluarga aku’ bisik hati kecil ini. Sekarang ada kurang 3 bulan sebelum berlangsung persandingan belah lelaki.

Percintaan berputik di zaman sekolah

Pada Sabtu 05/01/2019, berlangsunglah persandingan pihak lelaki di Taman Melawati. Perancangan rapi telah kami uruskan dengan harapan agar semua tetamu-tetamu yang dijemput akan bergembira dan menyaksikan bertemunya jodoh anak sulungku Amirul Licap dengan pasangannya Farah Najwa Bte Zakaria. Percintaan yg berputik dizaman persekolahan SEMASHUR 10 tahun akan sempurna dengan langkah akad & bersanding.

Alhamdulillah…. Sebagai seorang Ayah… Ini yang diimpikan. Kebahagiaan berkekalan dan penerusan warisan. Gembira hati ini bila melihat sumbangan usaha pasangan, saudara mara, kawan-kawan untuk memastikan kesempurnaan majlis.

Kami gembira dan syukur atas kehadiran mereka

Khusus pada birasku Mus sekeluarga dan Khai sekeluarga. Terima kasih banyak atas segala sumbangan, pertolongan, bantuan dan juga masa bersama. Tidak lupa juga pada adik beradik pengantin perempuan dan sahabat-sahabat mereka dari SEMASHUR yang turut menyumbang usaha & tenaga. Pada Event Planner dari Azzuieena Villa Bunglow terima kasih atas kerjasama padu kalian hingga tiada cacat cela perjalanan majlis dari mata kami. Terima Kasih yang tak terhingga dari kami pihak keluarga. Semoga Allah jua yang membalas budi kalian.

Di malam persandingan ini, berjumpa semula saudara mara yang dah lama tak bersua, kenalan-kenalan dari tempat aku membesar dahulu di Ulu Tiram, kawan sekolah SJI 85, sahabat-sahabat dari KDU, kenalan dari tempat kerja MAS. Alhamdulillah, sebak dan terharu bila berjumpa kembali selepas hampir 40 tahun tak berjumpa. Kenalan dari MAS yang ku kenali dari 1994 juga hadir meramaikan majlis. Kami gembira dan bersyukur atas kehadiran mereka.

‘Wawa berehatlah ye’

Pengantin berdua kami syorkan duduk serumah dengan kami selepas berkahwin. Syarat kami hanyalah. Seminggu dirumah kami dan seminggu dirumah besan di Ampang. Selamat Datang Wawa. Kami teruja dengan kehadiran ‘Anak Perempuan’ di teratak kami. Gelak tawanya, masakan yang dihidangkannya, celotehnya, kemesraan pengantin berdua dan keakrabannya dengan isteriku amat mendamaikan sanubari ini.

Ku lihat anakku gembira sekali. Anak lelaki ku yang sorang lagi juga gembira dengan kehadiran ‘Kakak’. Isteriku dah ada ‘Geng’ Pakat ‘membahan’ dan menyakat ‘Ayah’ sorang ni. Aku suka semua tu dan aku redha dengan kebahagiaan dari Illahi.

Sehinggalah.. Pada Jumaat 08/02/2019. Menantuku masuk hospital. Demam panas. Kami di sisinya sehingga Ahad. Keadaan tidak berubah dan kami pindahkan ke Ampang Hospital lepas Asar. Dekat Maghrib, Farah dimasukkan ke Zon Kritikal. Berderau darah bila dengar penerangan Doktor bertugas.

Seluruh keluarga dapat melihatnya. Dikala azan berkumandang. Kami dapat berjumpa dengan Wawa. Dia masih dapat berkata-kata dan luluh hatiku melihatnya berusaha untuk bernafas. Salam terakhir dari isteriku dijabat erat seolah tidak mahu dilepaskan. Mata ku mula ‘berkaca’. Yang dapat ku ucapkan hanyalah ‘Wawa berehatlah ye, In syaa Allah. Kami sentiasa di sisi Wawa’. Teringat kata Doc tadi.. ‘Jika sampai esok pagi tak perlu Induce Coma n put on Life Support, in syaa Allah, Wawa akan beransur pulih’ Malangnya, kira-kira pukul 0330h. Wawa terpaksa dibantu pernafasan.

Bagaikan dentuman halilintar

Isnin…Wawa di ICU. Sedihnya bila kenalan, saudara mara berpusu melawat. Rutin kami hanyalah rumah di Puchong dan kembali ke Ampang Hospital. Keadaan Wawa masih tak berubah. Pressure masih low dan erratic. Kejap naik kejap turun.

Selasa….Wawa masih tak berubah. Ku lihat anakku Amirul disebelah Wawa. Mengaji di telinga Wawa dan diurutnya tangan Wawa. Ku saksikan kasih seorang suami kepada isterinya. Aku sebak melihat kesedihan anakku. Besan ku juga sudah dibilik ICU. Mengaji bersama dan mengurut kaki Wawa. Terdetik dihati ku sewaktu hendak memakai Hair Net, Gown, Gloves & Face Mask bila Doc kata dengan sayu. ‘Takpe, masuk aja lah’

Panggilan telefon dari kawan anakku, Pora pada 2215h dan dari anakku pada 2230h bagaikan dentuman halilintar. Wawa sudah dijemput Illahi. Inna Lillahi Wainna Illahi Rojiuun. Wawa tiada lagi. Ya. Wawa tiada lagi. Arwah dikebumikan di Tapak Perkuburan Cheras Baru selepas Zohor pada hari Rabu 13/02/2019 di usia hampir 25 tahun. Selepas hampir 3 bulan bergelar isteri dan menantu kini bergelar Arwah.

Selamat bersemadi arwah Farah Najwa

Ya Allah. Daku redha dengan ketentuan Mu. Cucurilah Rahmat Mu ke atas Rohnya, ampuni lah dosa-dosanya, Lapangkanlah kuburnya, kasihanilah dia dan tempatkanlah rohnya dikalangan mereka yang Solihin.. Aamiin.

Aku masih bersedih. Sedih kerana arwah pergi…

Sehari sebelum hari mengambil Sijil Perkahwinan
5 hari sebelum hari kelahirannya yg ke 25
2 minggu sebelum siapnya Video Perkahwinan
3 bulan sebelum kami dapat berpuasa bersama

Kepada anakku Amirul Asyraf. Ayah bersimpati atas kehilanganmu. Ayah doakan agar arwah aman bersemadi disana. Ayah doakan agar Allah swt anugerahkan ketabahan kepadamu. Ayah berasa bangga dan terharu bila melihat ketabahanmu memandikan arwah, solatkan arwah, mengusung arwah, menurunkan arwah ke liang lahat dan sama-sama bertahlil keatas rohnya. Syukur Alhamdulillah. Semoga ketabahan mu diberkatiNya… Aamiin.

Kepada saudara mara, sahabat handai yang sesama menziarahi dan solat jenazah. Semoga Illahi memberkati penghidupan dan pengorbanan kalian. Semoga kalian dibawah Lindungan Nya sentiasa.. Aamiin.

Selamat bersemadi arwah Farah Najwa. Semoga tenang disana. Ayah, Ibu, Adam & Amirul amat merindui mu. Terima Kasih Ya Allah kerana telah meminjamkan arwah kepada kami dan menganugerahkan kebahagiaan kepada kami sekeluarga biarpun untuk sekejap waktu. Al Fatihah.

Sumber : Shazmeer Adam Shastri

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment