L’Oréal Malaysia menganjurkan satu program iaitu Beauty For a Better Life yang bertujuan untuk memberi kursus dandanan rambut dan penjagaan kecantikan secara profesional kepada gadis -gadis yang kurang bernasib baik tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Untuk program ini, L’Oréal Malaysia telah memilih untuk bekerjasama dengan National Council of Women’s Organisations (NCWO) yang mana telah banyak dan aktif memainkan peranan penting dalam memacu perkembangan wanita di Malaysia menerusi semua rakan sekutu sejak penubuhannya pada tahun 1962.
Melalui perkongsian dengan NCWO, L’Oréal Malaysia menaja kursus dandanan rambut dan penjagaan kecantikan profesional yang dijalankan oleh Pusat Peluang Latihan Vokasional (Vocational Training Opportunity Centre atau VTOC) kelolaan YWCA. VTOC telah menjadi perintis dalam menyediakan latihan vokasional dan kemahiran untuk wanita muda dari masyarakat yang kurang bernasib baik sejak tahun 1998 dan sejak itu telah melatih 1,594 orang gadis dalam pelbagai kemahiran yang dapat memberikan mereka peluang pekerjaan.
“Teras utama visi NCWO adalah kemajuan wanita di Malaysia. Program Beauty For a Better Life L’Oréal Malaysia menambah nilai kepada visi NCWO. Program latihan kemahiran mereka memperkasakan para wanita dengan membina keupayaan diri dan membolehkan mereka berdikari selain meningkatkan kehidupan keluarga dan masyarakat,” kata Puan Omna Sreeni-Ong, Setiausaha Agung Kehormat, NCWO.
Sementara itu, YB Puan Hannah Yeoh, iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, & Masyarakat turut memuji usaha baik ini kerana baginya ini adalah satu program yang sangat membina dan harus diteruskan setiap tahun.
“Pujian wajar diberikan kepada YWCA KL yang telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan VTOC dua puluh tahun lalu untuk memberikan kemahiran keusahawanan kepada wanita muda dan gadis-gadis daripada kumpulan masyarakat yang kurang bernasib baik di negara kita. Projek ini menyokong usaha kerajaan untuk menyediakan latihan vokasional kepada masyarakat yang terpinggir di negara kita, ” katanya.
Program Beauty For a Better Life dikendalikan oleh para profesional kecantikan yang berkelayakan tinggi untuk memastikan setiap pelatih mempunyai kemahiran yang mereka perlukan untuk memulakan kerjaya mereka dalam bidang penjagaan rambut dan kecantikan. Sejak program bermula pada tahun 2016 di Malaysia, seramai 51 orang pelajar telah menamatkan latihan mereka yang merangkumi peluang-peluang dalam latihan sambil belajar di pusat-pusat dandanan rambut dan kecantikan profesional di Kuala Lumpur.
The post MEMBINA KEHIDUPAN YANG LEBIH BAIK MENERUSI KECANTIKAN appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment