Perayaan Tahun Baru Cina seperti biasa akan disambut setiap tahun oleh kaum Teong Hua. Pastinya, perayaan ini akan disambut dengan penuh kemeriahan. Negara kita yang hidup berbilang kaum akan merasai setiap kemeriahan perayaan yang disambut oleh semua kaum. Seperti biasa, kita akan meraikan bersama-sama dengan saling kunjung mengunjungi untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama kaum.
Namun, untuk perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut esok, sebagai seorang Muslim, kita perlu tahu perkara yang ‘perlu’ dan ‘tidak perlu’ dilakukan sepanjang perayaan ini. Seorang lelaki yang juga merupakan seorang Cina Muslim, Firdaus Wong Wai Hung telah berkongsikan tentang perkara-perkara tersebut.
Pantang larang yang perlu dijaga
Esok akan bermulanya sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat berbangsa Cina. Saban tahun saya akan menerima persoalan apakah pantang larang yang perlu dijaga apabila menziarahi kenalan semasa Tahun Baru Cina .
Soalan sebegini bagus kerana mereka berniat mahu berdakwah tetapi pada masa yang sama, tidak mahu melanggar sebarang syariat Islam semata-mata untuk berdakwah.
Do’s
- Sebelum pergi hubungi tuan rumah terlebih dahulu.
- Digalakkan bawa buah tangan apabila melawat khususnya buah dan makanan (sudah tentu yang Halal).
- Boleh menikmati jamuan yang disediakan selagi yakin ianya adalah halal. Jikalau tidak yakin, maka beritahu masih kenyang dan ambil kekacang lain sebagai tanda hormat kepada tuan rumah.
- Bagi yang bujang, boleh menerima angpau dari tuan rumah.
- Digalakkan membalas pemberian angpau dari tuan rumah dengan memberikan kepada ahli keluarganya yang masih bujang bukan kepada yang telah berkahwin.
- Ambil peluang untuk berdakwah dengan akhlak dan juga lisan.
Dont’s
- Jangan ziarah tanpa memaklumkan kepada tua rumah akan kehadiran kita.
- Jangan mengajak orang lain turut serta yang tidak dikenali oleh tuan rumah tanpa mendapat izin tuan rumah.
- Elakkan pakai pakaian berwarna hitam kerana mungkin ada segelintir masyarakat Cina yang pantang warna hitam menurut mereka adalah warna sial. Kita sebagai Muslim tidak percaya akan itu tetapi sebagai tanda menghormati mereka.
- Elakkan bercakap topik berkaitan kemalangan, kematian dan malapetaka mahupun politik. Itu taboo untuk masyarakat Cina terutamanya pada Tahun Baru Cina.
- Jangan memberikan hadiah dalam bentuk buku dan jam kerana buku (shu) dalam bahasa Cina memiliki bunyi yang sama dengan kalah (shu).
- Jangan duduk di rumah terlalu lama sehingga menganggu tuan rumah walaupun kebiasaannya tuan rumah akan suruh kita duduk lagi tetapi adab dalam Islam perlu diutamakan.
- Jangan terlibat sama sekali dalam sebarang aktiviti yang kita tidak tahu atau kurang pasti terutamanya yang melibatkan upacara keagamaan.
- Jangan duduk bersama di meja yang sama tatkala mereka sedang berjudi dan meminum arak (kalau ada).
- Jangan terlalu asyik berziarah sehingga terlepas solat fardhu.
- Jangan mengambil penyapu untuk membantu tuan rumah menyapu rumah terutamanya pada Tahun Baru Cina hari pertama dan kedua kerana mereka memiliki pantang tidak menyapu pada dua hari pertama Tahun Baru Cina.
- Jadikan sambutan Tahun Baru Cina ini peluang kita merapatkan ukhuwah dan memudahkan kita menyampaikan risalah Islam kepada mereka semua. Tiada hari tanpa dakwah… Kongsikan tips ini andai bermanfaat.
*Gambar hiasan. Kami semua berbangsa Cina tetapi kami adalah Muslim. Cina Muslim Hong Kong diapit oleh dua Cina Muslim dari Malaysia…
Sumber: Firdaus Wong Wai Hung
0 comments :
Post a Comment