Menimba ilmu sudah menjadi kewajipan sebagai manusia, termasuklah pelajar orang kurang upaya (OKU) yang juga berhak untuk menimba ilmu dan mendapat pendidikan sama seperti pelajar lain demi menjamin masa depan mereka yang cerah.
Justeru, bermula tahun depan Kementerian Pendidikan akan memastikan tiada lagi pelajar OKU yang ditolak untuk memasuki alam persekolahan.
Laksana zero reject policy
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberitahu melalui Bernama, tujuannya untuk memastikan pelajar OKU menerima hak pendidikan yang sama seperti pelajar normal serta mengelakkan mereka tercicir dalam pelajaran.
Kami akan laksanakan zero reject policy bermula tahun depan yang mana kami akan pastikan selepas ini tiada lagi pendaftaran pelajar OKU yang ditolak daripada mengikuti pembelajaran di sekolah arus perdana.
Semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara semalam, Dr Maszlee menjawab pertanyaan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff tentang usaha kementerian dalam memberikan pendidikan kepada golongan OKU.
Jelas beliau lagi, kementerian juga menyediakan ‘laluan khas’ bagi pelajar OKU melanjutkan pengajian di semua Universiti Awam (UA) di Malaysia.
Menerusi laluan khas ini, mereka (golongan OKU) akan diberikan ruang mudah untuk masuk (melanjutkan pengajian) ke UA walau macam mana pun keadaan (fizikal) mereka.
Bagaimanapun, mereka perlu memenuhi syarat kemasukan bagi kursus yang dipohon.
Tubuh Pelan Hala Tuju Pendidikan Murid Berkeperluan Khas
Demi menjamin masa depan pelajar OKU, kementerian sedang menubuhkan Pelan Hala Tuju Pendidikan Murid Berkeperluan Khas.
Pelan ini akan merangka tindakan intervensi komprehensif bagi murid keperluan khas dalam bidang pendidikan dan pastinya pelan ini akan memberi masa depan serta harapan baharu kepada murid OKU.
Sumber: Sinar Harian
0 comments :
Post a Comment