Menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang terbaik menjadi hajat dan keinginan semua orang. Umat Islam digalakkan untuk banyak berdoa agar dijemput Ilahi dalam serba kebaikan atau digelar husnul khotimah.
Hajat seorang warga emas untuk ‘pergi’ di Tanah Suci Mekah termakbul ketika dia menunaikan umrah, semalam. Siti Faridah Ahmad yang sedang menunaikan umrah dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Raudhah, Masjid Nabawi jam 9 malam waktu tempatan.
Luah hasrat meninggal di Mekah atau Madinah
Menurut anak arwah, Noor Hashimah, arwah sudah 12 kali menunaikan umrah dan pernah memasang niat untuk meninggal dunia di Mekah atau Madinah. Apa yang lebih memilukan arwah sempat meninggalkan pesan mengatakan dia sudah menyediakan segala kelengkapan jika ditakdirkan ‘dijemput’ di sana.
Kalau mak meninggal, mak dah siapkan semua kelengkapan mak, ambil ja dalam beg ni, telekung semua mak dah siap.
Itu yang mak pesan kat anak-anak, dia siap dah kelengkapan semua. Mak juga pernah kata kat kawan dia, kalau boleh dia nak meninggal dunia di Mekah atau Madinah, bila dapat tau berita kematian ini, maka termakbullah hajat mak.
Bersyukur mak dijemput di tempat suci
Tambah Noor Hashimah, walaupun kaum keluarga berduka dengan berita itu, namun mereka juga bersyukur kerana ibunya meninggal di tempat suci dalam Masjid Nabawi.
Seluruh ahli keluarga bersedih tapi jauh di sudut hati rasa amat bersyukur sebab mak dijemput Ilahi di tempat paling suci iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.
Raudhah tu taman-taman syurga, depa kata mak jatuh masa melangkah ke Raudhah, anak-anak mak doakan, mak kini sedang melangkah ke syurga, Insha-ALLAh.
Ujarnya lagi, arwah ibunya sempat berpesan kepada abangnya untuk sentiasa menjaga mereka adik-beradik setelah kematian ayah 3 tahun lalu.
Mak pesan pada abang (anak sulung) sebelum bertolak supaya jaga adik-adik, kami semua lima beradik dan adik bongsu dah meninggal dunia pada 2014. Arwah ayah pun dah meninggal tiga tahun lepas, sejak itu, saya duduk dengan mak.
Bila arwah mak tiada, rasa sangat kehilangan, kami tahu dia pergi umrah macam biasa, macam tahun-tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali, dia pergi buat selama-lamanya. Moga Allah terima mak, terima segala amalan mak, Insha-ALLAH.
Sumber: Sinar Harian, Nurulaswar Nasron
0 comments :
Post a Comment