Setiap ibu bapa ingin melindungi anak dan memastikan mereka sentiasa selamat dan jauh daripada masalah. Memastikan anak anda selamat di sekolah atau bersama pengasuh mungkin satu perkara yang sukar untuk dilakukan namun, ia mungkin akan menjadi lebih sukar apabila anak ingin tidur di rumah kawan. Sedangkan dengan keluarga dan saudara dekat pun susah untuk anda percaya, inikan pula ingin melepaskan anak anda di bawah jagaan orang lain. Tetapi jika anak anda ingin pergi tidur di rumah kawan, ini ada beberapa perkara yang anda dan anak perlu tahu.
Pastikan Anak Anda Bersedia
Sebagai ibu bapa, anda lebih tahu sama ada anak anda sudah bersedia untuk tidur di rumah kawan atau ia adalah cadangan yagn baik. Kebanyakan kanak-kanak sudah bersedia pada usia tujuh atau lapan tahun sedangkan yang lain mungkin belum bersedia sehingga melangkah ke alam remaja. Jika mereka sukar untuk tidur sendiri, kencing malam atau sering bangun dan mencari anda pada waktu malam, mereka mungkin belum bersedia untuk tidur di tempat lain.
Kenali Ibu Bapa Kawan Anak
Anda akan rasa lebih selesa jika anda kenal dengan ibu bapa kawan di mana anak anda akan tinggal semalaman. Ia lebih baik jika anda kenal dengan ibu bapa kawan anak anda. Ibu bapa lain mungkin punya pandangan yang berbeza mengenai anak anda dan dengan mengenali mereka, anda mungkin boleh berkongsi tip tentang penjagaan anak yang betul.
Kenali Kawan Anak
Anda boleh menjemput kawan anak untuk tinggal di rumah terlebih dahulu. Dengan ini anda boleh melihat bagaimana anak dan kawan mereka bergaul. Adakah mereka bermain dengan baik? Bolehkah mereka bertolak ansur dengan satu sama lain? Ambil peluang ini untuk memerhatikan anak anda dengan kawan mereka.
Terangkan Etika Dan Keselamatan Ketika Berada Di Rumah Kawan
Sama ada anda menjadi tuan rumah atau menghantar anak ke rumah kawan untuk bermalam di sana, pastikan anda terangkan peraturan dan etika yang betul kepada mereka. Pastikan mereka sentiasa menjaga sikap, menghormati peraturan dan mendengar kata ibu bapa yang menjadi tuan rumah kepada aktiviti bermalam itu. Tetapkan peraturan untuk pastikan anak tidak bertindak di luar batasan. Pastikan juga anak anda menghafal nombor anda dan suami. Beritahu mereka untuk hubungi anda pada bila-bila masa sahaja sekiranya mereka rasa tidak selesa berada di rumah orang.
Katakan Tidak
Ada masanya anda mungkin rasa tidak sedap hati jika membiarkan anak untuk pergi bermalam di rumah orang lain. Jika anda merasakan sedemikian, anda boleh katakan tidak kepada permintaan anak anda. Sebaliknya, anda boleh gantikan dengan aktiviti menonton filem di rumah atau bawa anak dan kawan mereka berjalan-jalan.
Sumber GIF: Google
The post Ibu Bapa Perlu Tahu Perkara Ini Jika Anak Ingin Tidur Di Rumah Kawan appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment