Terdapat banyak jenis sayur-sayuran yang boleh ditanam di laman rumah. Ia memudahkan tugasan memasak anda setiap hari, selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur. Ini adalah jenis tanaman yang boleh anda tanam di rumah:
Daun Sup dan Bawang
Ini adalah tanaman yang paling senang dijaga. Jangan dibuang lebihan akar daun sup. Ambil dan cucuk terus ke dalam pasu berisi tanah, ia akan membuahkan tunas dengan cepat. Pokok daun bawang juga mudah ditanam. Anda hanya perlu ambil bawang dan tanam di dalam pasu. Urusan memasak jadi lebih mudah kerana kebanyakan hidangan pastinya menggunakan dua jenis sayuran ini.
Daun Selasih
Herba daripada kategori pudina ini biasanya dimakan mentah sebagai ulam atau sebagai penambah rasa juadah. Mudah saja menanam semula daun selasih, di mana anda hanya perlu meletakkan selasih sepanjang kira-kira empat sentimeter ke dalam bekas berisi air. Biarkan ia mendapat sumber cahaya matahari yang mencukupi.
Kunyit
Kunyit hidup yang ditanam sendiri elok dijadikan sebagi pati minuman bagi kaum wanita yang sedang berpantang, selain digunakan di dalam aneka jenis hidangan seperti rendang dan gulai lemak. Cara untuk menanam kunyit di rumah adalah dengan membalut kunyit dengan surat khabar lembap dan simpan ia di kawasan gelap. Ia memakan masa kira-kira dua ke tiga minggu untuk mengeluarkan tunas.
Daun Kesum
Tugasan memasak laksa mahupun asam pedas pastinya jadi lebih mudah jika anda ada menanam pokok daun kesum di rumah. Anda hanya perlu rendam tanah dengan air di dalam pasu tanpa lubang, dengan nisbah tanah separuh pasu dan air pula 1/4. Selepas semalaman, anda boleh cucukkan batang daun kesum ke dalam pasu.
Batang Saderi
Potong bahagian pangkal batang saderi dan letakkan di dalam bekas berisi air suam. Biarkannya ia terdedah kepada cahaya matahari hingga daun di bahagian tengah bercambah, kemudian baru anda boleh pindahkannya ke dalam tanah.
The post 5 Tanaman Boleh Tanam Sendiri di Rumah appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment