Untuk menghasilkan juadah yang enak bukan hanya bergantung kepada rempah-ratus dan bahan semata, tetapi tekstur daging juga penting supaya apa yang terhasil terasa senang untuk dijamah. Ada beberapa cara untuk melembutkan daging, jadi anda perlu cuba setiap satunya dan pilih kaedah terbaik yang anda selesa serta suka akan hasilnya.
Rahsia Melembutkan Daging
Kebiasaanya daging selalu dipotong secara melintang daripada urat dan bukan beraliran mengikut urat. Tetapi kaedah ini tidak semestinya dapat melembutkan daging. Cara lain yang boleh anda cuba adalah:
- Kebanyakan suri rumah di Eropah gemar menggunakan ‘mallet’ yang diperbuat daripada kayu dan berbentuk seperti tukul. Sebagai ganti, anda boleh gunakan lesung batu untuk melembutkan daging.
- Gaulkan daging dengan tepung gandum atau tepung jagung dan perap selama lima minit untuk melembutkan daging.
- Gunakan daun betik atau buah betik muda. Namun sekiranya sukar untuk anda jumpa bahan tersebut, anda boleh gunakan buah kiwi. Kupas dan lenyekkan sebiji kiwi dan gaulkan dengan satu kilogram daging yang telah dipotong dadu. Perap selama 15 minit dan daging akan jadi empuk selepas dimasak. Gunakan kaedah ini jika anda hendak menggoreng daging untuk masa yang singkat. Kaedah ini tidak sesuai untuk masakan yang dididihkan begitu lama seperti rendang atau masak lemak.
- Selain daripada kiwi dan betik, buah nanas juga boleh digunakan sebagai ejen melembutkan daging. Gaulkan empat sudu isi nanas yang telah dilenyekkan dan perap bersama daging selama 15 minit sebelum dimasak. Daging boleh dibasuh sebelum digunakan.
Kaedah Memasak Daging
• Bahagian batang pinang sebenarnya hanya sesuai untuk masakan yang ringkas dan cepat seperti stik. Daging sebegini tidak sesuai untuk masakan seperti rendang atau masak lemak.
• Bahagian daging yang berotot dan berurat sudah semestinya bahagian yang akan menjadi liat bila dimasak. Bahagian ini sesuai untuk menyediakan sup atau rendang. Tempoh penyediaan yang lama akan menghasilkan daging yang lembut dan relai selepas dimasak.
• Daging lembu tidak semestinya perlu dimasak sepenuhnya, jika dibandingkan dengan daging ayam yang mempunyai parasit berbahaya pada kesihatan jika tidak dimasak dengan betul. Daging lembu yang masih berdarah seperti stik separa masak adalah selamat untuk dimakan.
Tip oleh: Chef Norman Musa
The post Rahsia Daging Dimasak Lembut appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment