Quran Waqaf Tanah Suci Mungkin Dikeluarkan Dari Masjid, Ini Tips Pilih Mushaf Ikut Piawai

Sudah menjadi kebiasaan, apabila jemaah umrah atau haji menjadi tetamu Allah, ada yang mengambil kesempatan untuk mewaqafkan al-Quran dan diletakkan di Masjid Nabawi ataupun Masjidil Haram. Tidak hanya untuk diri sendiri, jemaah turut mewaqafkan atas nama ahli keluarga supaya pahala orang membaca Quran berkekalan selamanya.

Namun, adakah Quran yang diwaqafkan akan kekal berada di dalam masjid dan dapat dimanfaatkan jemaah? Seorang lelaki mendedahkan kisah disebalik waqaf Quran yang mungkin ramai tak tahu.

‘Al-Quran waqaf. Halal, halal’

Rakyat Malaysia yang kini tinggal di Arab Saudi, Najmi Farisham berkongsi kisah berkenaan waqaf Quran yang biasa dilalui tetamu Allah. Usaha bersedekah atau infaq dengan Quran dilakukan untuk memanfaatkan jemaah seluruh dunia, namun ramai yang tidak menyedari hakikat di sebaliknya.

“Al-Quran wakaf. Halal, halal,” kedengaran laungan peniaga al-Quran di kaki lima bangunan berdekatan hotel kita.

Kita pun apa lagi, terus meluru ke arahnya dek tertarik dengan perkataan halal, halal tadi. Lepas bertanya itu dan ini, kita belilah beberapa buah mushaf. Peniaga itu dengan serta-merta mengecap kulit dalam al-Quran dengan tulisan “??? ?????”

“Syukur alhamdulillah,” luah kita dalam hati, berasa puas dapat wakafkan kitab suci al-Quran di Masjidilharam.

Beginilah antara usaha orang kita untuk berinfak di Bumi Haramain, adalah dengan mewakafkan mushaf al-Quran di sana. Sama ada di Masjidilharam, mahupun Masjid Nabawi.

Beli banyak-banyak lalu diniatkan kepada anak-beranak kita yang lain. Supaya kelak ia dimanfaatkan oleh jemaah dari seluruh pelusuk dunia. Senyap-senyap Tuhan kreditkan pahala ke dalam akaun kita.

Ada petugas kutip Quran tak ikut piawai

Namun kawan, tahu tak yang bukan semua jenis mushaf boleh diwakafkan di sana?

Tahu tak yang petugas masjid mempunyai jadual berkala untuk mengutip mushaf yang tidak menepati piawaian mereka, lalu dikeluarkan daripada kedua-dua masjid suci ini?

Ya, begitulah hakikat sebenarnya kawan.

Pihak pengurusan telah menetapkan beberapa kriteria mushaf yang boleh diwakafkan di sini. Bukanlah nak melariskan bisnes mereka semata-mata. Cuma sebagai satu penyelarasan di samping menjaga keaslian cetakan mereka.

Antaranya adalah:

1. Mestilah mushaf cetakan Kompleks Percetakan Raja Fahd, di Madinah.
2. Tali penanda berwarna kuning bagi mushaf sederhana, biru mushaf besar.
3. Berkulit hijau bagi mushaf sederhana, biru pula untuk mushaf bersaiz besar.

Jika tiada ketiga ciri ini, maka besarlah peluang untuk dibawa keluar walaupun mushaf tersebut dicap ‘WAKAF’ berpuluh-puluh kali sekalipun.

Bukan semua Quran dijual ikut piawaian

Cuma jangan risau, pihak pengurusan masih tetap komited untuk memastikan saham akhirat ini berjalan. Lalu mereka menghadiahkannya kepada para jemaah haji yang datang ke mari, diletakkan di masjid-masjid sekitar Arab Saudi dan negara-negara Islam yang lain.

Oleh sebab itu penting untuk kita benar-benar memastikan mushaf yang kita beli menepati apa yang pihak mereka telah tetapkan. Kerana bukan semua al-Quran yang dijual di sekitar masjid mengikut kriteria tersebut. Bergantung kepada kitalah pula untuk membuat keputusannya.

Jadi bagi membuatkan kalian semua berasa yakin untuk berinfak, ada sebuah kedai cenderamata yang terletak dalam Muzium al-Quran, menyediakan jualan mushaf ini. Muzium ini berada di pintu pagar Masjid Nabawi bernombor 5.

Harganya cuma SAR35 bagi mushaf bersaiz sederhana. SAR45 untuk saiz besar. Apa yang menariknya di sini adalah, kalian boleh pilih nak wakafkan ia di mana. Sama ada di Masjidilharam ataupun Masjid Nabawi. Kasi tahu dan pihak mereka akan uruskan semuanya setelah kita selesaikan urusan pembayaran.

Senang bukan?

Dengan adanya khidmat begini, mudahlah nanti bagi pihak kita nak wakafkan mushaf di sini. Moga Tuhan terima infak ikhlas kita sebagai amalan yang berlanjutan pahalanya.

Itulah.

Sumber: Najmi Farisham

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment