Gara-gara kedegilan sendiri yang sentiasa dahagakan cabaran dan benda baru dalam hidup, seorang warga Amerika Syarikat menerima akibatnya. Dia ditemui mati dan ditanam di sebuah pulau di Lautan India, Rabu lalu.
John Allen Chau dipercayai menjadi tabligh Kristian dan berniat mahu mengkristiankan penduduk di pulau itu.
Mahu jumpa orang asli di sana
John dipanah sehingga mati setelah mendarat di Pulau North Sentinel yang dilarang untuk orang luar. Menurut BBC, John dibunuh oleh puak Sentinel selepas dia membayar nelayan tempatan supaya membawanya ke pulau itu secara haram.
Kata wartawan Subir Bhaumik, pihak polis mengatakan John pernah beberapa kali ke pulau itu dengan bantuan nelayan. Ketua Polis Andaman, Dependra Pathak berkata John bukanlah tabligh Kristian dalam erti kata sebenar.
Orang fikir dia tabligh Kristian kerana mengatakan dirinya dekat dengan Tuhan. Namun sebenarnya dia bukan pendakwah agama itu. Dia sukakan cabaran, dia hanya mahu berjumpa puak orang asli di sana.
Pihak berkuasa tempatan mengatakan puak itu hidup terpencil selama lebih 60 ribu tahun dan tidak mempunyai imuniti terhadap sakit biasa seperti demam dan campak.
Mayat diheret, ditanam dalam pasir
Ujar Pathak, pihak berkuasa telah ke pulau itu untuk mendapatkan mayat John. Pulau itu terletak kira-kira 50 kilometer dari barat Port Blair, ibu negeri gugusan pulau itu.
John memberitahu nelayan pada 16 November dia tidak akan pulang dari pulau itu dan mengarahkan nelayan itu untuk pulang ke rumah. John kemudian menyampaikan nota tulisan tangan untuk diberikan kepada rakan-rakannya.
Keesokannya, mereka melihat mayat John diheret di pantai dan kemudian ditanam, menurut polis. Menurut sumber, John membawa gunting, pin dan bola sepak untuk diberikan sebagai hadiah.
Di dalam notanya, John berkata, ada segelintir ahli puak yang baik dengannya manakala ada sesetengahnya sangat agresif.
Sumber: Free Malaysia Today, BBC
0 comments :
Post a Comment