‘Sudah Nasihat, Tak Sangka Semalam Dia Pergi Ke Sana’ – Bapa Remaja Hilang

Malang tidak berbau, meskipun sudah menasihati anak supaya tidak ke kawasan lombong, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam tetap pergi setelah diajak dua rakan.

Artikel berkaitan : Terbelit Tali & Pusaran Air Disyaki Punca Enam Anggota Bomba Lemas

Menurut bapa remaja tersebut, dia hanya mengetahui anaknya lemas selepas dimaklumkan oleh seorang lagi anak lelakinya kira-kira 5 petang semalam. Tambah mengejutkan apabila mengetahui enam nyawa terkorban ketika misi mencari anaknya dijalankan.

Sudah nasihat jangan pergi

Bapa, Mohd Azzam Naim ada menasihati anak agar tidak ke kawasan lombong berikutan keadaan semasa yang kerap hujan. Namun, tidak sangka anaknya tetap pergi setelah diajak dua rakan.

Kelmarin, saya ada pesan padanya agar tidak pergi ke situ kerana bahaya disebabkan cuaca sekarang kerap hujan.

Jadi, saya tidak sangka dia datang ke sini selepas diajak dua rakannya kira-kira 4 petang semalam.

Malah, ketika dua lelaki dilaporkan lemas dua bulan lalu, saya sendiri ada menasihatkan anak saya supaya tidak ke sana lagi. Tapi tak sangka pula hari ini dia pergi ke sana bersama rakannya.

Kawasan pintu air ini memang tidak berpagar dan menjadi tempat penduduk di sini untuk menangkap ikan.

Malah kira-kira dua bulan lalu dua lelaki dilaporkan lemas ketika menjala ikan di situ. Tambahnya, tragedi yang berlaku itu diharap menjadi iktibar bagi penduduk di situ agar tidak menceroboh kawasan berkenaan.

Saya terkejut apabila mendengar berita itu.

Saya tidak sangka pula operasi mencari anak saya, Mohd Ilham Fahmy bertukar tragedi lebih menyedihkan.

Mohd Azzam Naim terkejut saat dimaklumkan enam orang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meninggal dunia semasa menyelamatkan anaknya.

Sementara itu, ahli keluarga remaja hilang sanggup tidur beralaskan tikar berdekatan kawasan lombong sambil menunggu perkembangan terkini.  Menurut nenek, Che Piah Bahari, mereka sekeluarga bergegas datang ke Puchong dari Nibong Tebal setelah dimaklumkan kehilangan cucu kesayangannya.

Saya terkejut sebaik dimaklumkan oleh anak mengenai kejadian itu. Saya sempat menasihatkan anak supaya bersabar dan menunggu kami tiba ke sana.

Saya terus menghubungi ahli keluarga lain dan mengajak mereka datang ke sini. Kami tiba kira-kira jam 1 pagi tadi ke sini (lokasi kejadian) dan bermalam di sini dengan beralaskan tikar yang dibawa dari rumah di Nibong Tebal.

Tidur saya tidak lena sepanjang malam mengenangkan nasib cucu. Saya orang tua, sepatutnya saya yang pergi dulu, bukan dia.

Kali terakhir saya jumpa Fahmi ketika Aidilfitri pada Jun lalu memandangkan anak menetap di Putra Perdana.

Saya bersama ahli keluarga lain bertekad untuk tunggu dan tidur di sini sampai jumpa Fahmi.

Sebak dada saya ketika melihat gambar anggota bomba yang meninggal dunia ketika mahu mencari Fahmi. Saya harap Fahmi dapat ditemui hari ini.

Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan oleh anak keduanya itu mengenai berita menimpa cucunya.

Sumber : Harian Metro

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment