Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Air Asia telah melancarkan laluan barunya dari Johor Bahru ke Ipoh dan ke Alor Setar, 4 kali seminggu. Pelancaran laluan baru itu secara tak langsung bakal memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri tersebut.
Tawar lebih banyak laluan domestik
Menerusi laporan Harian Metro, Air Asia telah meluaskan rangkaian penerbangan mereka apabila seramai 120 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru pada 7.30 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh pada 8.40 pagi.
Kehadiran penumpang Air Asia tersebut turut disambut oleh Ahmad Faizal Azumu, Menteri Besar Perak; ahli Lembaga Pengarah AirAsia Group Berhad, Datuk Aziz Bakar. Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutid AirAsia Malaysia berkata, pelancaran laluan tersebut adalah sebagai bukti pihak mereka tidak henti untuk terus menawarkan lebih banyak laluan domestik.
Kami telah memperluaskan rangkaian kami secara agresif dari hab Johor Bahru untuk menawarkan tetamu kami peluang untuk terbang terus ke bandar raya yang penuh tarikan ini.
Hari ini juga, kami turut melancarkan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar, juga empat kali seminggu.
Kami juga komited untuk terus meningkatkan industri pelancongan dengan meningkatkan hubungan (connectivity) kami dengan laluan baharu, perkhidmatan kami di Ipoh serta membawa sumbangan daripada aspek pelancongan, peluang pekerjaan dan perniagaan untuk masyarakat tempatan berkembang maju.
Menyumbang ekonomi negeri
Sementara itu Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal teruja dengan pelancaran laluan baru ini dan berharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu dalam meningkatkan jumlah pengunjung serta dapat menjana ekonomi negeri.
Kerajaan negeri benar-benar teruja untuk mengalu-alukan pelancong datang ke Perak dan saya ingin berterima kasih kepada AirAsia kerana melancarkan laluan hari ini dan memberi penghormatan kepada saya untuk mengalu-alukan tetamu pertama di LTSAS hari ini.
Walaupun kami berharap untuk menerima lebih banyak pelancong menerusi perkhidmatan langsung ini, kerajaan negeri mengakui pentingnya untuk menggalakkan pelancong yang datang untuk tinggal lebih lama di sini supaya mereka dapat menikmati pengalaman warisan dan eko-pelancongan.
Sumber: Harian Metro
0 comments :
Post a Comment