“Saya seorang penggemar makanan pedas. Setiap hari saya akan memilih menu yang berbeza mengikut cita rasa dan kehendak. Namun pada suatu hari, selepas makan saya mengalami ketidak selesaan, loya dan mulut pula terasa masam. Bukan itu sahaja, dada juga sering terasa ngilu sehingga mengganggu tidur.
“Selain itu, ia akan bertambah teruk jika saya makan makanan berminyak. Sewaktu melakukan senaman juga pasti saya akan alami masalah yang sama lebih lagi jika melakukan tekan tubi,” kata Mohd Asyraf, 36, yang tujuh tahun mengalami masalah penyakit refluks gastroesofagus (GERD).
GERD membawa impak negatif yang ketara terhadap kualiti kehidupan pesakit. Bayangkan anda sentiasa tertekan dengan apa yang boleh dimakan atau tidak, di samping perlu membataskan aktiviti makan di luar bersama rakan demi mengelakkan gejala penyakit ini.
Kredit: Ingimage
APA ITU REFLUKS GASTROESOFAGUS (GERD)
GERD ialah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid atau kandungan perut naik semula (refluks) ke dalam esofagus iaitu laluan antara mulut dan perut. “Asid perut mempunyai pH yang hampir sama dengan asid bateri. Apabila asid perut melalui esofagus dan ada kalanya naik semula ke dalam mulut, ia akan menghakis saluran ini dan menyebabkan kesakitan,” kata Dr Raja Affendi Raja Ali, Perunding Perubatan dan Pakar Gastroenterologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Refluks asid mengakibatkan rasa sakit seakan terbakar pada dada yang biasanya dikenali sebagai pedih hulu hati. Jika gejala refluks asid berlaku lebih daripada dua kali seminggu atau jika ia diiringi dengan kesukaran bernafas atau menelan, ini mungkin menandakan ia telah menjadi serius.
“GERD adalah keadaan yang akan beransur-ansur teruk jika dibiarkan tanpa rawatan. Penyakit ini berpunca daripada struktur dalaman badan dan juga faktor gaya hidup. Oleh itu, pesakit perlu mengambil langkah proaktif untuk menanganinya dengan berkesan. Ia umpama luka yang boleh melarat dan membahayakan nyawa jika tidak diambil tindakan,” ujar Dr Affendi.
Kajian menunjukkan bahawa GERD mengurangkan produktiviti kerja melebihi produktiviti seseorang yang berhadapan dengan penyakit kronik seperti arthritis. Hakikatnya, GERD menjejaskan elemen teras yang melambangkan nikmat kehidupan iaitu keseronokan menikmati makanan, tidur yang nyenyak dan kepuasan bekerja bagi individu.
PUNCA GERD
Kebanyakan mereka yang mengalami refluks asid atau GERD menganggap bahawa keadaan ini berpunca daripada tekanan atau makanan pedas dan berasid. Menurut kajian, tekanan bukan punca sebenar GERD, namun ia antara salah satu faktor yang boleh memburukkan lagi penyakit tersebut.
Saintis mendapati bahawa pengeluaran asid perut amat sensitif terhadap keadaan emosi kita. Selain tekanan, obesiti juga merupakan satu lagi faktor pencetus GERD. Berat badan yang terkumpul pada bahagian perut akan menekan diafragma dan sfinkter esofagus bawah (LES) hingga menyebabkan otot LES menjadi longgar.
Tidak memeranjatkan bahawa bilangan mereka yang menderita GERD kian meningkat di negara ini memandangkan Malaysia tersenarai sebagai negara yang mempunyai tahap kegemukan penduduk paling tinggi di Asia. Merokok juga antara faktor risiko GERD kerana nikotin berpotensi mengendurkan otot LES, seterusnya menolak asid perut naik semula ke dalam esofagus.
Rawatan GERD
Kebanyakan individu boleh mengawal pedih ulu hati dengan mengamalkan cara hidup sihat dan ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor. Tetapi sekiranya ia semakin teruk, ubatan ini mungkin hanya membantu untuk sementara waktu. Sekiranya anda mengalami (GERD) anda mungkin memerlukan ubatan lain untuk mengurangkan gejala. Pembedahan mungkin diperlukan jika anda tidak dapat mengawal GERD. Ia untuk membetulkan lower oesophageal sphincter dan memberhentikan tidak balas refluk asid.
Mengubah gaya hidup juga boleh membantu dalam mencegah GERD daripada menjadi lebih teruk. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:
- Makan mengikut waktu dan tidak lambat.
- Menghindari makanan yang berminyak, pedas dan berasid
- Makan hidangan saiz yang lebih kecil.
- Menjaga berat badan.
- Berhenti merokok.
- Meninggikan bahagian kepala ketika tidur.
- Mengenakan pakaian yang selesa untuk menghindari tekanan pada perut.
Berikut adalah tanda dan gejala sakit GERD:
Tanda dan gejala sakit GERD:
- Rasa terbakar di dada di bawah tulang dada
- Sakit dada selepas tunduk, berbaring dan selepas makan
- Rasa terbakar dan kepanasan di dalam tekak
- Merasai cecair panas masam, masin di belakang tekak
- Sendawa yang berpanjangan
- Batuk yang teruk
- Suara menjadi serak
- Pernafasan berbunyi seperti serangan asma.
- Perut Kembung
The post Elak Terkena Penyakit Refluks Gastroesofagus appeared first on Her Inspirasi.
0 comments :
Post a Comment