Rutin penjagaan wajah yang utama terdiri daripada langkah membersih, menyegar dan melembap. Jika anda konsisten dengan tiga langkah ini, kulit anda akan menampakkan perubahan iaitu lebih bersih, segar dan kekal berseri.
Namun, masih ramai yang suka skip dan memandang enteng akan kepentingan penggunaan toner ataupun penyegar wajah ini. Penyegar wajah bertindak untuk mengecilkan liang pori yang telah terbuka ketika proses membersihkan wajah dan juga mengekalkan kelembapan pada kulit.
Ia lebih seronok jika anda rajin untuk buat sendiri penyegar wajah menggunakan bahan-bahan alami yang nyata lebih asli, natural dan menjimatkan.
Toner Teh Hijau
Salah satu toner yang mudah untuk anda sediakan di rumah. Ekstrak teh hijau baik untuk mengekalkan kesihatan kulit wajah. Sediakan setengah cawan dauh teh hijau di dalam mangkuk. Panaskan dua cawan air mineral. Setelah mendidih, tuangkan air ke dalam mangkuk berisi daun teh tadi. Biarkan selama lima minit. Tapis dan masukkan air rendaman teh itu ke dalam botol semburan. Semburkan pada wajah selepas anda membersihkan wajah.
Toner Sayuran
Cincang timun yang dibuang kulit dan tomato dengan halus. Kemudian, kisarkannya dengan sedikit air perahan lemon. Tapis dan ambil airnya sahaja. Simpan di alam botol kedap udara. Setiap malam sebelum tidur, sapukan toner ini pada wajah anda. Bilas dengan air suam keesokan paginya. Toner ini boleh disimpan selama tiga hari di dalam peti sejuk selagi ia belum bertukar warna. Kandungan mineral dan vitamin dalam sayuran ini akan menyegarkan kulit dan melembapkannya.
Toner Tomato & Madu
Gandingan ini boleh membantu membersihkan kulit wajah dan mengembalikan keseimbangan warna kulit. Sediakan sebiji tomato dan dua sudu madu. Lenyekkan tomato dalam sebuah bekas. Kemudian, campurkan dengan madu. Kacau sehingga sebati. Bersihkan wajah terlebih dahulu. Kemudian, sapukan adunan tadi pada wajah dan leher. Biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibilas bersih.
The post BUAT SENDIRI TONER WAJAH ANDA appeared first on Her Inspirasi.



0 comments :
Post a Comment