Kembara di Bumi Lamphun & Lampang, Thailand

Dua destinasi di Thailand iaitu Lamphun dan Lampang mungkin terdengar asing buat anda. Namun jika anda seorang yang menghargai pemandangan indah dan keunikan budaya negara orang, boleh jadikan dua tempat ini lokasi mesti singgah kala kembara ke bumi Thailand kelak!

Liburan ke bahagian utara negara gajah putih baru-baru ini masih lagi segar dalam ingatan. Penerbangan terus ke Chiang Mai bersama Air Asia menggalas undangan Tourism Authority of Thailand (TAT) bagi meneroka lokasi di Chiang Mai yang mungkin masih lagi asing buat rakyat Malaysia. Chiang Mai adalah bandar yang berlokasi di kawasan pergunungan utara Thailand dan cuacanya lebih sejuk. Banyak aktiviti yang boleh anda lakukan di sini bermula dengan sajian mata yang mengagumkan hingga kepada sesi terapi buat diri. (*Anda boleh lihat lanjut berkaitan lokasi menarik di Chiang Mai di Jelita edisi April 2018.)

Dari Chiang Mai pula, anda boleh pergi ke Lamphun dan Lampang yang mengambil masa kira-kira satu ke dua jam perjalanan menaiki kereta. Antara lokasi mesti singgah adalah:

Wat Phra That Hariphunchai, Lamphun
Terletak di tengah-tengah kota, Wat Phra That Hariphunchai dibina semasa pemerintahan King Arthitayarat, keturunan Queen Chamthewi sekitar 800 tahun lalu. Salah satu mercu tanda penting di sini adalah Chedi atau Buddhist stupa keemasan dengan ketinggian 46 meter, di mana keunikan sekarang yang dilihat adalah hasil kerja pemulihan teliti pada 1443 oleh Raja Chiang Mai. Terdapat 22 binaan dan kuil dalam kawasan Wat Phra That Hariphunchai yang setiap satunya memiliki ciri unik.

Wat Phra That Lampang Luang, Lampang
Satu lagi lokasi penting untuk rakyat Thailand adalah Wat Phra That Lampang Luang di Lampang, paradigma bangunan kuil Lanna. Kuil indah ini terletak di atas bukit yang dikelilingi oleh dinding. Anda disapa dengan gerbang masuk yang dipanggil Pratu Khong yang dihiasi reka bentuk plaster halus. Memasuki ke dalam, mata disajikan dengan rekaan serta seni bina kuil yang indah dengan sentuhan seni yang cukup halus.

Menunggang Kereta Kuda, Lampang
Tidak sah kunjungan ke Lampang jika anda tidak merasai pengalaman menaiki kereta kuda. Ia akan membawa anda melalui jalan tenang yang bakal memperlihatkan suasana permai dan keindahan pekan Lampang. Anda boleh memilih perjalanan 20 minit atau 1 jam dengan kadar bayaran sebanyak 300baht untuk 20 minit dan 400baht untuk 1 jam.

Indra Ceramic Outlet, Lampang
Khusus buat kaum wanit yang suka membeli-belah dan mendapatkan keperluan rumah dan dapur! Outlet seramik ini menjadi destinasi wajib singgah kala ke Lampang. Anda boleh dapatkan pelbagai jenis pinggan mangkuk, pasu, perhiasan rumah dan sebagainya di sini. Rambang mata dibuatnya, apatah lagi semuanya ditawarkan dengan harga yang sangat mampu milik! Boleh dibeli sebagai koleksi peribadi, mahupun dibawa pulang ke tanah air sebagai tanda mata untuk yang tersayang.

The post Kembara di Bumi Lamphun & Lampang, Thailand appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment