Titik Hitam: Disihir Bekas Kekasih Kerana Putuskan Hubungan

Hati manusia tiada siapa dapat menduga. Mungkin luaran nampak baik tetapi di dalam tiada siapa yang tahu. Itulah yang terjadi kepada *Mimi Syarini, 30, mengimbau kenangan buruk disihir bekas kekasih yang juga rakan baiknya sewaktu zaman sekolah.
 
Menurut Mimi, dia mengenali *Fahmi ketika berada di tingkatan satu sebuah sekolah di Utara tanah air. Mimi berkawan rapat dengan Fahmi kerana perwatakannya yang baik hati dan selalu membantu rakan serta guru yang memerlukan bantuan. Selepas berkawan hampir lima tahun, Fahmi meluahkan hasrat hati untuk menjadi teman rapat Mimi sebelum mereka menamatkan zaman persekolahan.
 

Gambar: ING image


 
“Dia meluahkan perasaannya kerana bimbang kami akan terputus hubungan dan membawa haluan masing-masing. Walaupun rumah kami berdekatan, Fahmi risau jika saya mendapat tawaran belajar berlainan tempat. Saya yang ketika itu terkejut dengan pengakuannya meminta diberi sedikit masa sebelum menerimanya selepas tamat peperiksaan SPM. Itulah kesilapan terbesar yang saya lakukan kerana menyangka Fahmi akan menerima diri saya seadanya,” ujarnya.
 
Perwatakan Berubah

Tiga minggu pertama  setelah menjadi teman rapat, Fahmi masih lagi lelaki yang lemah lembut apabila bercakap sehinggalah pada suatu hari semasa mereka keluar ke sebuah pusat beli-belah, Mimi terserempak dengan seorang sepupu lelaki yang sudah lama terputus hubungan kerana menyambung pelajaran ke luar negara.
 
“Saya dan sepupu bersembang seperti biasa kerana sudah lama tidak berjumpa dan saya turut memperkenalkan Fahmi kepadanya. Namun riak wajah Fahmi menunjukkan bahawa dia tidak suka saya bersembang dengan sepupu. Semasa perjalanan pulang, jejaka itu memberitahu dia tidak suka cara kami berbual. Sejak itu, saya nampak perwatakannya yang sebenar. Fahmi kuat mengongkong  dan cemburu buta sehingga saya ingin membantu ibu di kedai pun dia memberi amaran supaya tidak bercakap dengan mana-mana lelaki lain,” kata Mimi menambah.
 
Akibat tidak tahan dengan sikap Fahmi yang suka menuduh tanpa usul periksa, Mimi akhirnya meminta hubungan mereka tidak lagi diteruskan apatah lagi dia mendapat tawaran belajar di Selatan tanah air. Pujuk rayu Fahmi melalui telefon tidak diendahkan kerana sikapnya yang kuat cemburu malah hampir memukul dirinya. Mimi menyekat nombor telefon lelaki itu dan akhirnya mereka terputus hubungan.
 
Bertemu Semula

Selepas empat tahun, Mimi yang sudah menghabiskan penagajiannya pulang ke kampung untuk membantu ibunya menjaga kedai makan yang diusahakan sementara menunggu panggilan kerja. Pada suatu hari, Fahmi muncul di kedainya setelah empat tahun tidak berjumpa. Dia yang teruja bertemu dengan Fahmi semula diberitahu bahawa lelaki itu sekarang bekerja sebagai seorang pegawai kerajaan. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa, dia mengajak Fahmi untuk keluar makan di sebuah restoran dan mereka menceritakan perihal masing-masing kerana sudah lama tidak berjumpa. Rupanya, Fahmi masih tidak dapat melupakan dirinya dan masih berharap agar Mimi menerimanya semula kerana mungkin zaman sekolah dahulu dia masih tidak matang.
 
“Sejujurnya saya terkejut kerana dia masih tidak melupakan saya. Saya memintanya masa untuk berfikir dan akhirnya menerima semula dua minggu kemudian. Pada permulaannya saya berfikir dia memang sudah berubah namun sangkaan saya meleset. Hubungan kami hanya bertahan selama dua bulan. Dia masih  kuat cemburu dan lebih teruk apabila dia sudah berani menampar saya hanya kerana rakan lelaki sekuliah menegur saya di Facebook. Saya mula jadi takut dengan Fahmi,” katanya.
 
Selepas kejadian ditampar, Mimi meminta untuk memutuskan hubungan. Fahmi mengamuk dan mengugut untuk membunuhnya, namun Mimi tidak kisah akan ugutan yang diberi. Mimi kembali menyekat nombor Fahmi. Tidak berapa lama kemudian, Fahmi menghantar mesej melalui Facebook dan memberitahu bahawa suatu hari nanti Mimi pasti akan melutut dan meminta Fahmi menerimanya semula.
 
Gangguan Bermula

Beberapa minggu setelah Fahmi menghilangkan diri, Mimi meneruskan kehidupannya sehingga dia tiba-tiba merindukan Fahmi. Mimi tidak dapat menggambarkan perasaan yang dialami. Dia menjadi seperti orang gila bayang. Dia mencari semula nombor Fahmi dan mesej dihantar namun Fahmi langsung tidak membalas. Selepas seminggu, barulah lelaki itu menjawab panggilan Mimi. Fahmi hanya menjawab ala kadar seperti dia tidak lagi mempunyai hati kepada Mimi. Namun perangai Mimi menjadi semakin pelik. Semua yang dilakukan hanya Fahmi yang berada di bibirnya. Ibu Mimi ialah orang pertama yang perasan akan perubahan itu.
 
Menurut Mimi, Fahmi ada menghantar pesanan ringkas mengatakan dia amat marah kepda dirinya kerana mengabaikannya dan dia menelefon Fahmi merayu untuk meminta maaf. Ibu Mimi yang mula risau melihat perangai peliknya sehingga mengabaikan diri dan sudah kurang melakukan ibadah solat. Mimi juga mengatakan bahawa dia sering ternampak kelibat lelaki berbulu dan juga merasakan dirinya sering sahaja diperhatikan.
 
“Ibu yang risau kemudian membawa saya berjumpa dengan Ustaz berdekatan dengan kampung kami di sebelah Pantai Timur. Ustaz memberitahu ibu, saya telah disihir orang terdekat. Ibu beritahu saya seperti orang gila, menangis dan ketawa tanpa sebab. Saya juga ada menjerit menyebut nama Fahmi dan bercakap dalam bahasa Siam seperti mentera. Akhirnya setelah berhempas pulas, Ustaz berkenaan berjaya merawat dan membuang sihir berkenaan,” kata Mimi lagi.
 
Wanita itu kemudian dibawa pulang ibu untuk berehat. Sejak dia pulang ke rumahnya, dia tidak pernah lagi melihat Fahmi sehingga kini. Lelaki itu seperti hilang dan tidak lagi ditemui. Ibu ada bertanya kepada ahli keluarga Fahmi sama ada dia ada pulang ke rumah, namun hanya diberitahu anaknya ada menelefon namun sudah lama tidak pulang.
 
Kehidupan harus diteruskan dna kini Mimi sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata. Dia menasihatkan supaya anak gadis sekarang menjaga perilaku dan tidak terlalu mendedahkan diri di laman sosial kerana hanya melalui gambar juga mereka mudah terkena sihir.

*Bukan nama sebenar
Artikel ini diterbitkan di Majalah Jelita edisi Disember 2017

The post Titik Hitam: Disihir Bekas Kekasih Kerana Putuskan Hubungan appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment