“Susah Payah Aku Bela Dari Kecil, Senang-senang Nak Kasi Orang Rasa?” Bibit Keparahan Institusi Keluarga, Nafsu Binatang Bapa Dominasi Momen 2017

tinta jelita

Umurnya? Baru 15 tahun. Tapi hampir setiap hari antara Januari dan Julai lalu, atau lebih tepat tiga kali sehari dia dirogol dan diliwat bapanya sendiri.

Iaitu, selama kira-kira 212 hari kecuali dua hari sebelum Ramadan dan hari pertama sebelum bulan puasa pada Mei lalu. Begitu pun, penderaan seksual dan meliwat itu sudah berlaku seawal usianya 13 tahun, kali pertama di Tanah Suci ketika dua beranak ini mengerjakan Umrah pada 2015.

Sungguh kata orang, hatta binatang pun tahu menyayangi anaknya.

Monster Dad, antara gelaran diberi kepada duda tiga anak berusia 36 tahun itu. September lalu, dia dijatuhi hukuman penjara 48 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah atas 623 pertuduhan sumbang mahram, serangan seksual dan liwat terhadap anak sulungnya, yang mana dia diberi hak penjagaan.

Daripada 623 pertuduhan itu, 591 adalah kerana meliwat anaknya. Dan tahun 2017 tidak lain hanya mencatat luka yang amat dalam.

Luka yang mengingatkan saya pada seorang teman yang saya kenali pada 1990-an, ketika masih bertugas dengan sebuah akhbar tempatan. Pak Chat, begitu saya meneriaknya. Punya sejarah di Penjara Pudu kerana kesalahan yang menurutnya “tidak disengajakan apabila budak itu mati dalam pergaduhan.”

Jauh dia merenung selepas dalam nada separuh kesal, dia meluahkan, “Kami budak lagi masa itu.”

Ada masanya, Pak Chat yang membina hidup baru dengan menjadi budak pejabat, akan bercerita. Bulu roma ikut merinding mendengar kengerian penghuni yang membuatkan seluruh penjara sepi kecuali bunyi seretan longlai pesalah yang bakal digantung. “Cengkerik pun macam faham, langsung tak berbunyi,” katanya.

Masih, antara perompak, gengster dan ketua kartel, kata Pak Chat tidak terbanding dengan kisah teman sel, seorang pakcik berusia 50an. “Pakcik itu masuk penjara sebab kes rogol anak sendiri,” katanya. “Sekali itu, aku tanya ‘kenapa pakcik tergamak rogol anak sendiri?’ Dia jawab, ‘Susah payah aku bela dari kecil, senang-senang saja nak kasi orang rasa? Baik aku yang merasa dulu.’

“Tergamam aku mendengar jawapan pakcik tu. Banduan macam aku pun tak tahu nak cakap apa.”

tinta jelita

Pengakuan bersalah pelaku sumbang mahram mahu pun hukuman sebetulnya belum tentu berupaya menghilangkan persoalan yang menghambat: Kenapa seorang bapa tega melakukannya? Ditambah dengan implikasi dan stigma masyarakat Timur, bagaimana mangsa mahu mengembalikan kehidupan yang telah dirampas daripada orang yang mungkin paling dipercayai akan melindunginya sampai mati?

September, nyata menambah pilu.  Di Kota Bharu, seorang gadis berusia 10 tahun dirogol bapanya yang berumur 50 tahun. Pelaku dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan. Dan hati menangis memikirkan mengapa anak malang itu yang dipilih si bapa antara lapan beradiknya bagi memuaskan nafsu serakahnya.

Penjara berjumlah 480 tahun dan 18 sebatan pun belum tentu cukup untuk mengubati trauma seorang gadis berusia 13 tahun di Sarikei, Sarawak yang diperkosa setiap hari oleh bapanya sejak Januari hingga Disember 2016. Bapa yang disangka tidak dapat menyentuhnya selepas dia tinggal di asrama sekolah, bagaimanapun terus merogolnya apabila dia pulang pada hujung minggu. Dia dirogol walaupun selepas pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada ovarinya sebelum akhirnya mendedahkan perbuatan pelaku berusia 38 tahun itu kepada ibunya.

Sudah cukup menyakitkan seandainya anda berasa gagal melindungi anak, tapi durjanalah ibu yang memilih untuk menutup sebelah mata terhadap perlakuan binatang suami terhadap anak sendiri. Dan apa yang lebih bangsat daripada menjual anak sendiri demi kelangsungan hidup?

Hati dirobek-robek mendengar bagaimana seorang ibu tunggal melacurkan dua anak perempuannya, masing-masing berusia 10 dan 13 tahun di sebuah hotel murah di Johor Bahru. Oktober lalu, wanita berusia 39 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan menganiaya dan melacurkan mangsa.

Akhbar tempatan melaporkan dua gadis itu dipaksa melakukan hubungan seks dengan dua lelaki warga Bangladesh secara bergilir-gilir di bilik hotel sambil disaksikan ibu mereka sendiri yang diberi RM50 bagi setiap kanak-kanak itu dan ada kalanya menerima bayaran RM1, RM5, RM10 dan RM20 selepas anaknya dilacurkan.

tinta jelita

Jadi, anda mungkin bertanya ke mana hilangnya kasih seorang ibu? “Twins to let her go”, begitu kapsyen yang mengiringi iklan dalam talian di laman web mudah.my bertarikh 8 Disember oleh seorang wanita berusia 20 tahun bagi menjual bayi kembarnya pada harga RM15,000, hasil perhubungannya dengan teman lelaki yang berumur 18 tahun.

“Susahlah nak jaga,” kata wanita itu sebagaimana diceritakan aktivis, Syed Azmi AlHabshi ketika cuba menyelamatkan bayi kembar itu. “Mak kata ada orang nak tapi takkan nak pakai bagi free free je, bagitahulah berapa dia nak kasi.”Dilepaskan kemudiannya atas jaminan polis, wanita itu mendakwa didorong kekangan kewangan, selain mahu “hidup bebas.”

Tidak terbayang sebetulnya menjadi ibu yang kehilangan tiga anak sekaligus di dalam tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat yang menyentap emosi, September lalu. Mahu pun menerima berita kematian suami dan menjadi balu sedang inai masih merah di jari.

Diajukan agar redha, adilkah kenyataan Pengetua, Muhammad Zahid Mahmod bahawa anak-anak tahfiz itu dianggap “mati syahid” kerana sanggup meninggalkan keluarga, antaranya “semata-mata untuk belajar agama” sebagai pengubat kesedihan sekaligus menutupi mata mengenai kepincangan penguatkuasaan dan isu keselamatan banyak pusat tahfiz?

Bagaimana jika sebaliknya, menjadi orang tua suspek yang baru berusia antara 11 dan 18 tahun dengan ikut dipersalahkan atas perlakuan mereka? Suspek, dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika merancang. menggunakan dua tong gas memasak dan petrol untuk membakar asrama pusat tahfiz itu dalam kejadian bermotif dendam. Diselar ibu bapa pembunuh, anda terpaksa memikul dosa yang ditompokkan sambil mungkin mengharapkan sejarah hitam itu pergi menerusi secebis pengampunan atas kematian 21 pelajar tahfiz yang semuda enam tahun selain dua warden mereka?

Adakah 2017 biasan bibit keparahan institusi keluarga kini?

Ia bagaimanapun barangkali tidak sengeri melihat  badut-badut jadian yang setelah diberi kuasa hanya menambah kesal, apakah sebenarnya yang telah kita lakukan?

 

Foto: INGimage

The post “Susah Payah Aku Bela Dari Kecil, Senang-senang Nak Kasi Orang Rasa?” Bibit Keparahan Institusi Keluarga, Nafsu Binatang Bapa Dominasi Momen 2017 appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment