Diselar perempuan gatal, nyata bukan kecaman biasa buat jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang baru ini heboh diperkatakan mengenai hubungan cintanya dengan seorang pemuda berusia 23 tahun.
Ia dilihat tidak sekadar mencemari reputasinya, malah lebih lagi kerana hatinya ikut terguris.
Meski tenang, tidak menggelabah berhadapan situasi berkenaan, dia masih manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Di sebalik kekentalan jiwa iron lady yang dimilikinya, dia ada maruah dan harga diri.
“Bab dikecam, sebagai orang bisnes dia sudah biasa,” kata Syarizzuan Abdul Rashid, wartawan akhbar Berita Harian yang melaporkan perkembangan pengusaha popular itu atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman.
“Cuma bab cinta inilah, saya kira dia sensitif juga. Ditemubual, dia agak sedih apabila orang mengata. Dia pun manusia, sudah tentu mahu rasa disayangi,” katanya, berhubung gosip Vida dan pemuda bernama Ahmad Iqbal Zulkefli yang juga salah seorang daripada empat pembantu peribadinya.
Vida yang juga pengasas Vida Beauty berusia 46 tahun.
Di dalam video temubualnya bersama Utusan Malaysia, dia yang menafikan ujudnya hubungan antara dia dan pekerjanya itu berharap agar penjelasannya “menghentikan tohmahan, kutukan, cacian kepada saya… macam kata saya ini apalah, ‘tidak serik-serik, gatal, kau tu sedarlah diri kau, lelaki tu nak harta kau.”
Tapi, jika benar sekali pun beliau menjalin hubungan cinta dengan lelaki muda, salahkah?
Soalnya, adakah suatu perkara aneh untuk seorang perempuan melewati usia 40-an mengingini lelaki yang jauh lebih muda usianya? Atau, bergoncangkah dunia hanya kerana seorang lelaki muda jatuh hati dengan wanita berusia yang berkerjaya dan punya status?
Di Hollywood, aktres Susan Sarandon sudah pun berusia 66 tahun ketika dia bercinta dengan pemilik kelab, Jonathan Bricklin, 36. Lima tahun bersama, pasangan itu berpisah namun menariknya, Bricklin dilihat keluar pula dengan Marina Picasso, 64, yang juga merupakan cucu pelukis terkenal, Pablo Picasso.
Atau, bagaimana pula dengan aktor dan penyanyi, Zain Saidin yang berusia 29 tahun ketika dia melamar selebriti jelita, Rozita Che Wan yang 13 tahun lebih tua daripadanya? Pasangan ini bernikah pada 11 Disember 2013.
Zain di dalam satu temubualnya, menyifatkan aktres itu “mempunyai ciri perempuan idaman saya.” Status janda bukan halangan baginya yang menganggap pengalaman daripada perkahwinan lalu menjadikan wanita seperti Rozita lebih matang, selain penyayang, penyabar dan “boleh membimbing saya.”
Jelasnya lagi, “Sebagai wanita, dia seorang yang sempurna.”
Cuma, barangkali inilah harga yang harus dibayar hanya kerana anda adalah Vida. Apatah lagi apabila baru April lalu, Mahkamah Syariah mengesahkan perceraiannya dengan suami ketiganya, Fairuz Ahmad Zainuddin yang tujuh tahun lebih muda daripadanya.
“Sejujurnya, jadi Vida bukanlah satu laluan yang mudah,” kata Syarizzuan. “Susah nak tahu orang itu ikhlas dengan dia atau tidak, atau adakah kerana harta dia. Akui Vida, dia sedar antara faktor orang mendekatinya adalah kerana hartanya tapi dia tidak kisah asalkan ikhlas, jangan ambil kesempatan.
“Pernah, Vida memberitahu, sebagai manusia dia ada hak untuk bercinta dan hidup bahagia tapi paling penting, kakak dan anaknya perlu lebih dulu menerima atau dia tidak akan menerima lelaki itu.”
Kenyataan protes anak perempuan Vida di Instagram, menggunakan nama cikb_havoc66, yang “tak kan benarkan dia bersama mama saya sebab dia tu nak perhatian je…” mendapat reaksi netizen yang ikut tidak merestui perhubungan itu, malah menyifatkan pemuda itu gila glamour dan cuma mahukan harta ibunya.
Saat situasi sebegini boleh saja dinilai positif, bagaimana ia membiaskan kekaguman masyarakat terhadap wanita seperti Vida yang mencipta nama dengan empayar bisnesnya, ada segelintir yang menjadikannya peluang mereka melabel, mencemuh. Jika ada pertikaian terhadap kejujuran di dalam perhubungan itu sekali pun, apakah hak masyarakat untuk melontarkan kata nista?
Dan tambah malang apabila keceluparan yang menghiris hati banyaknya diungkapkan wanita juga.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim berbunyi, “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaan, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu.”
Hasan bin Ali, cucu Rasulullah SAW yang diminta nasihat oleh seorang lelaki yang anaknya dipinang beberapa lelaki, berkata, “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertaqwa kepada Allah kerana jika ia menyukai isterinya, ia pasti mengasihinya tetapi jika dia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya.”
Cinta, kata orang boleh berlaku kepada sesiapa saja dan ia boleh hadir dalam keadaan paling tidak diduga.
Belum reda dengan gosip cinta lelaki mudanya, cerita Vida dihangatkan pula dengan “lamaran” daripada chef selebriti, Profesor Datuk Chef Wan ketika menjadi juri undangan Konsert Gegar Vaganza musim ke-4 yang ditaja usahawan itu.
Lamaran tidak diduga daripada Chef Wan yang selama ini menjadikan Vida sebagai bahan kritikannya di media sosial, disambut bersahaja oleh wanita itu yang membalas, “Oh, saya ingat orang-orang muda saja gila duit, rupanya orang tua pun sama juga!”
Ya, sekiranya perhatian yang diperlukan Vida, seperti biasa, dia menang!
Seperkara mengenai Vida, kata Syarizzuan lagi, ialah dia seorang yang disenangi.
“Dia jadi dia, tidak berpura-pura,” jelasnya. “Dia menawan jiwa orang dengan kejujurannya. Dia tabah, ikhlas dan kuat bekerja, malah setiap yang dilakukannya adalah untuk bisnes, famili dan anak-anaknya. Itu, bagaimana dia.”
Chef Wan pula, walaupun saling membidas antaranya dan Vida, mengakui tidak berkecil hati dengan kenyataan balas wanita itu sambil menyifatkan episod lamarannya sebagai “hanya gurauan senda.”
Di sebalik pandangan pedas terhadap Vida dulu, dia mengakui “masih menyukai personalitinya yang gila-gila dan kerana ingin jadi dirinya sendiri.” Dua kali bertemu, dia mendapati Vida adalah “seorang wanita yang sangat baik”, biar pun dengan personalitinya yang sebegitu.
Dan, anda boleh senyum mendengar seloroh Vida berhubung gosip cintanya dengan lelaki muda ketika berkata, “Saya tidak cukup cantikkah untuk dicintai? Tidak cukup cantik untuk disayangi? Saya tidak cukup cantikkah untuk dirindui?” biarpun realitinya, sebahagian wanita memang berdepan dengan kenyataan yang cukup mencalar perasaan itu.
Kecuali yang melamar adalah seperti Ayahanda Abdul Rani Kulup, maka saat itu tolonglah protes!
Foto: Instagram Dato’ Seri Vida
The post Gegar “Vida” Vaganza, Dari Gosip Cinta Lelaki Muda ke Lamaran Chef Wan appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment