Cara Pam Susu Badan Dengan Selesa di Pejabat

Pam susu di pejabat adalah satu daripada dilema ibu bila kembali bekerja. Inilah masanya pihak pengurusan syarikat dan rakan sekerja boleh memainkan peranan penting dalam menyokong penyusuan badan.

ING Image

Ramai ibu masa kini tahu akan manfaat menyusu badan justeru, ramai bertungkus-lumus pam susu di pejabat bila mula bekerja. Susu ibu boleh melindungi bayi daripada jangkitan gastrointestinal dan pernafasan, berpotensi mengurangkan risiko lelah klinikal, dermatitis atopik atau ekzema pada kanak-kanak, dan berpotensi mengurangkan risiko obesiti, diabetes jenis II dan tekanan darah tinggi bila bayi itu membesar. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan agar anak kecil diberikan susu badan secara eksklusif bagi tempoh enam bulan pertama untuk tumbesaran, perkembangan dan kesihatan optimum, selain meneruskan penyusuan ini sehingga usia anak dua tahun sambil memberi makanan yang lain.

Namun, ramai ibu ini berdepan cabaran untuk mengamalkan saranan ini. Di Malaysia, statistik menunjukkan 98.1 peratus anak berusia di bawah enam bulan telah diberikan sejumlah susu badan tetapi hanya 47.1 peratus daripadanya berjaya disusu badan secara eksklusif. Cabaran ini termasuk kesukaran menyusu badan hinggalah ke situasi apabila ibu-ibu tidak berjaya memerah susu badan bila kembali bekerja. Cabaran di tempat kerja ini signifikan bila kita mengambil kira yang majoriti wanita dalam kelompok usia ibu muda turut bekerja. Di Malaysia, 73.4 peratus wanita berumur 25-34 tahun dan 66.8 peratus wanita berusia 35-44 tahun adalah sebahagian daripada tenaga kerja.

“Philips telah membantu ibu-ibu memastikan yang anak mereka meraih manfaat susu ibu selama lebih 30 tahun. Kami menyokong ibu-ibu dengan produk inovasi, tetapi lebih penting, kami bekerjasama dengan pakar untuk menyokong perkongsian ilmu yang dapat membantu lebih ramai ibu-ibu untuk menyusu badan lebih lama. Sama ada bapa atau ahli keluarga lain, atau teman sekerja dan pasukan pengurusan di tempat kerja, setiap daripada kita boleh memainkan peranan bagi memastikan pengalaman menyusu badan menjadi lebih mudah bagi semua ibu baru di luar sana. Tujuan memperkasa ibu-ibu untuk menyusu badan lebih lama bukan saja kerana nutrisinya lebih baik buat anak. Ia turut memberi manfaat kepada majikan kerana bayi yang sihat bermakna ibu kurang perlu mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit, justeru mengekalkan produktiviti. Dalam jangka panjang, anak yang disusu badan biasanya menjadi dewasa yang lebih sihat, lalu negara juga meraih manfaatnya,” kata Muhammad Ali Jaleel, Pengurus Negara bagi Philips Malaysia.

Bagi para ibu, menyusu badan boleh dianggap satu tugasan peribadi yang dilakukan sendirian, namun, sistem sokongan yang baik amat penting bagi menjayakan proses menyusu badan. Kajian menunjukkan wanita yang meminta nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan akan dapat meneruskan penyusuan badan bagi tempoh lebih lama. Hampir 70% wanita yang menyusu badan sehingga 12 bulan mempunyai akses pada konsultan laktasi berbanding hanya 55% daripada mereka yang berhenti menyusu badan pada tiga bulan pertama. Menyusu badan adalah semulajadi, tetapi ibu memerlukan sokongan untuk memula dan mengekalkannya. Ada kemungkinan si ibu akan berasa kecewa apabila berdepan kesukaran atau cabaran tetapi mereka tidak patut keberatan untuk meminta sokongan.

Philips Malaysia sempena Minggu Menyusu Badan Sedunia 2017 berkongsi tip yang menyokong ibu menyusu badan seperti di bawah:

AKSES RUANG YANG TENANG 

Pastikan si ibu ada akses pada ruang yang tenang dan merelakskan seakan di rumah untuk membolehkannya mengepam susu badan. Sediakan peti sejuk khas hanya untuk menyimpan susu badan. Kajian menunjukkan kakitangan yang diberi akses kepada bilik menyusu dua kali ganda lebih berkemungkinan akan meneruskan penyusuan badan melebihi enam bulan.

RAKAN SEKERJA BERI SOKONGAN

Bagi rakan sekerja, amalkan sikap positif terhadap ibu yang menyusu badan. Jangan anggap mengepam susu badan sebagai gangguan atau aktiviti menyukarkan. Kita patut faham bahawa ibu berkemungkinan menghadapi cabaran apabila menyusu badan.

Jika anda ada teman yang merupakan seorang ibu baru, ambil kira lokasi yang mesra bayi dan menyusu badan bila keluar bersamanya. Atau sekurang-kurangnya, lokasi yang ada menyediakan kemudahan di mana ibu boleh mengepam dan menyimpan susu badan.

BANYAK JIMATNYA

Meneruskan usaha menyusu badan semasa tempoh yang disarankan bukan saja ada manfaat kesihatan ataupun dapat memupuk kemesraan, ia adalah lebih ekonomikal, mudah dan bersih, pada semua waktu tidak kira siang atau malam, di rumah mahupun apabila melancong bersama bayi. Ada yang pernah berkata, tugas membesarkan anak itu tanggungjawab sekampung. Apa yang pasti, kita memerlukan sistem sokongan yang kukuh bagi memastikan ibu-ibu berjaya menyusu badan.

Bagaimana pula dengan tanggungjawab suami dan ahli keluarga dalam memberi sokongan pada ibu yang perlu menyusu badan? Bagi bapa dan ahli keluarga lain, yang pentingnya, kita perlu ingat yang ibu bukan adiwira. Anda perlu memastikan ibu mendapat rehat mencukupi di antara susuan supaya dia boleh pulih sepenuhnya daripada melahirkan.

Cuba turuti panduan berikut:

  • Ambil alih tugas menjaga bayi daripada ibu. Ini termasuk menukar lampin hinggalah memandikan bayi dan menidurkannya. Menjaga anak baru lahir memang meletihkan, jadi biar bapa, nenek atau penjaga profesional melakukannya.
  • Pastikan rumah sentiasa kemas dan bersih seperti disukai ibu. Rumah yang kotor dan bersepah pasti menyerabutkan dan memberi tekanan kepada ibu, pastikan anda membantu supaya ibu boleh relaks.
  • Merencana menu harian dan menyediakan dan memasak hidangan boleh memakan masa dan satu tugasan intensif yang tidak patut dibebankan kepada ibu baru. Seperti menjaga bayi, ahli keluarga atau penjaga profesional boleh membantu. Ada sesetengah makanan yang patut dielak oleh ibu tetapi pastikan bertanya padanya tentang menu. Memaksa ibu makan dan minum sesuatu yang tidak disukainya pasti menambah tekanan dan memberi impak negatif pada sesi penyusuan badan.
  • Ibu perlukan diet sihat dan nutrisi baik untuk memulihkan tenaga. Menyusu badan membakar 500 kalori sehari, jadi ibu perlu makan jumlah kalori dan nutrien yang disarankan.
  • Mengambil snek bernutrisi antara hidangan lengkap turut membantu. Makanan kaya zat besi seperti daging, telur kuning dimasak dan sayuran daun hijau boleh melegakan keletihan manakala vitamin C membantu tubuh untuk menyerap zat besi daripada makanan, jadi jangan lupa mengambil makanan seperti buahan sitrus, tomato dan kentang.
  • Namun, ada pandangan mengatakan sesetengah makanan tidak sesuai kerana nutrien terkandung boleh diserap oleh bayi menerusi susu badan, membuatnya kembung, menunjukkan simptom kolik malah cirit birit. Makanan pedas, bawang putih dan bawang merah mentah berlebihan selain kafein antara makanan dan minuman yang ibu patut elakkan. Lebih penting, sentiasa rujuk kepada pakar kesihatan anda untuk diet terbaik buat ibu dan bayi.

 

 

The post Cara Pam Susu Badan Dengan Selesa di Pejabat appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment