Jelita Prihatin: Rumah Kita

Dia bahagia jika dapat melihat senyuman di wajah mereka yang memerlukan. Bukan sanjungan yang diinginkan tetapi, dia lakukan semua ini atas rasa belas ehsan terhadap nasib golongan yang sedang dilanda musibah ini.
Itulah pemilik nama Vimmy Yasmine Abd Razak atau lebih mesra disapa Kak Mi dan amat aktif sebagai Presiden Unggas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ia antara badan amal yang membantu golongan gelandangan melalui The Giving Project yang diusahakan bersama rakan dan sukarelawan lain.
 

 
Tidak dinafikan, masanya amat terhad sejak terbabit secara aktif dalam aktiviti kebajikan. Kadangkala dia terpaksa ‘curi’ masa untuk bersama keluarga tercinta. Mujur mereka amat memahami dan sentiasa memberi sokongan atas segala usaha yang dilakukannya.
 
“Saya terlalu sibuk dengan urusan di luar sehingga tiada masa untuk keluarga sendiri. Mujur suami amat memahami dan dia juga turut ringan tulang membantu saya melakukan kerja kebajikan. Lebih menyentuh hati, dia juga antara penyumbang bagi kerja kebajikan yang saya buat jika kekurangan dana,” katanya.
Selain membantu golongan gelandangan, Kak Mi juga turut membantu wanita atau gadis hamil luar nikah dengan memberikan rumah perlindungan sementara buat mereka. Sedar, masyarakat gemar memandang serong kepada individu ini membuatkan Kak Mi berusaha untuk mengubah persepsi negatif itu dengan menubuhkan Rumah Kita.
 
Rumah Milik Bersama
 
Hampir tiga tahun menubuhkan rumah ini, Kak Mi sudah membantu ramai gadis yang dalam kesusahan. Rumah ini tiada had kemasukan. Bukan saja wanita hamil, tapi wanita teraniaya yang ditinggalkan suami atau didera dan mereka tiada tempat bergantung atau tempat dituju juga boleh mendapat perlindungan di sini.
 
“Rumah ini sedia membantu remaja hamil yang menjadi mangsa rogol, sumbang mahram, mangsa seks dan ibu tunggal yang diceraikan suami. Tiada sebarang bayaran dikenakan, malah kami akan membiayai kesemua kos. Termasuk bil hospital atau klinik, bayaran perubatan dan kos sepanjang dalam pantang,” katanya.
 
Dia tidak mahu mereka rasa terasing di rumah ini. Disebabkan itu ia dinamakan Rumah Kita. Penghuni akan rasa lebih selesa apabila menganggap rumah ini seperti rumah mereka sendiri. Biarpun hanya tinggal untuk sementara waktu sahaja. Tidak hanya menyediakan keperluan harian, penghuni Rumah Kita juga diberi bimbingan agama daripada Ustazah.
 
Setiap malam Jumaat akan diadakan bacaan Yasin dan Rabu akan ada Ustazah mengajar Fardu Ain dan mereka belajar mengenal al-Quran menerusi kelas agama setiap Jumaat dan Sabtu. Selain ada juga beberapa sukarelawan yang datang mengajar mereka mengenai cara berpantang dan penjagaan bayi.
 
Bantuan amat diperlukan
 
Sepanjang tempoh membantu golongan ini, Rumah Kita tidak dibiayai mana-mana individu atau badan bukan kerajaan. Seratus-peratus keperluan rumah ini adalah daripada hasil sumbangan orang perseorangan dan rakan yang prihatin dengan nasib penghuni di sini.
 
“Sebahagian besar pendapatan yang saya terima saya guna untuk menampung perbelanjaan dan kos Rumah Kita. Saya tidak pernah berasa rugi kerana rezeki saya sentiasa ada untuk mereka. Tetapi, saya masih memerlukan sumbangan daripada orang ramai kerana keperluan penghuni di sini semakin bertambah. Sementelah bilangan mereka juga semakin ramai kini iaitu 14 orang. Ia melebihi jumlah sepatutnya iaitu 10 orang sahaja,” katanya.
 
Wang yang ada bukan sahaja untuk membeli makanan dan membayar bil, malah ia juga digunakan untuk menampung perbelanjaan hospital kerana ada beberapa penghuni yang dikenakan bayaran setiap kali menjalani pemeriksaan kehamilan di hospital. Ini termasuk menampung kos bersalin yang bukan murah.
 
“Alhamdulillah, sehingga kini saya masih mampu menampung semua perbelanjaan hasil bantuan rakan-rakan. Barangan keperluan juga masih ada cuma tidak mampu bertahan untuk tempoh masa yang lama. Saya sangat berharap semoga ada yang sudi membantu. Perbelanjaan di rumah ini semakin meningkat dan ini amat merisaukan saya,” ujarnya.
 
Enggan Putus Asa
 
Melakukan kerja kebajikan bukan semudah yang disangka. Berhadapan dengan pelbagai individu dengan latar belakang dan personaliti berbeza kadangkala menguji kesabarannya. Namun, Kak Mi tidak pernah menganggap itu sebagai halangan malah terus bersemangat mahu membantu mereka. Dia yakin, penat lelahnya ini bermanfaat untuk mereka yang dalam kesusahan.
 
Bagi Kak Mi, selagi ada daya, dia akan terus membantu mereka ini bagi memastikan nasib mereka dibela. Dia mahu mengubah persepsi masyarakat yang lebih gemar menghukum daripada berusaha menghulurkan bantuan.
 
“Buang sikap prejudis dan bantulah mereka ini seikhlas hati. Jangan diungkit dosa mereka yang lalu, sebaliknya beri peluang untuk dia berubah ke arah yang lebih baik. Terima dengan hati yang terbuka dan sayangi mereka selayaknya. Ketahuilah dengan bantuan yang dihulur, anda mampu menyelamatkan nyawa insan yang tidak berdosa,” ujarnya bersunguh-sungguh.

The post Jelita Prihatin: Rumah Kita appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment