Rahsia Hasilkan Kek Sedap dan Gebu

Sebut saja kek, pasti terbayang tekstur gebu, bau yang harum dan rasa yang mampu membuatkan diri khayal seketika.

Kek yang disediakan jangan hanya indah luaran, tetapi juga harus menyerlah daripada segi rasa. Terdapat pelbagai teknik dan rahsia untuk mendapatkan kek yang gebu dengan rasa hebat. Bagi mendapatkan hasil sempurna, adunan kek mestilah disediakan dengan betul. Gunakan juga loyang atau tin bersaiz seperti yang dinyatakan di dalam resipi. Paling penting untuk terus membakar kek sebaik saja ia siap dibancuh kerana reaksi bahan penaik dengan kepanasan membuatkan kek menjadi gebu. Namun begitu ada juga adunan kek yang perlu dibiar seketika sebelum dibakar.

Jadi, apakah teknik yang betul untuk mendapatkan kek yang sedap dan menyelerakan? Ini rahsianya ………

Ketuhar
– Mesti dipanaskan selama 10 ke 15 minit sebelum meletakkan kek. Ikuti suhu yang disarankan di dalam resipi.
– Pastikan anda memahami cara penggunaan ketuhar kerana ada jenis yang mempunyai elemen kepanasan atas dan bawah, bawah saja serta kipas built-in.
– Jika suhu untuk ketuhar biasa adalah 200 darjah Celsius, suhu untuk ketuhar berkipas adalah 180 darjah Celsius.
– Jika ketuhar lama, kadangkala suhunya tidak tepat jadi fahami ‘kerenah’ ketuhar anda.
– Ketuhar untuk kegunaan komersial atau yang khusus untuk kedai bakeri hanya memerlukan suhu jauh lebih rendah berbanding ketuhar biasa di rumah.

Ketuhar Gelombang Mikro
– Adunan kek adalah lebih cair daripada adunan untuk ketuhar biasa.
– Lazimnya adunan dimasak di dalam mangkuk, cawan seramik atau kaca yang dilenser lemak sayuran atau minyak.
– Masa membakar di dalam ketuhar gelombang mikro adalah sekejap saja. Kek nampak seperti belum masak (lembik sedikit), tetapi apabila dibiar pada suhu bilik, ia akan menjadi sempurna.

Loyang, tin pembakar atau bekas silikon
– Alas kertas kalis minyak (baking paper) dan lenser marjerin pada tin pembakar atau loyang. Jangan melenser dengan mentega kerana kek mudah hangus.
– Boleh dilenser marjerin atau lemak sayuran kemudian ditabur dengan tepung (kek biasa) atau serbuk koko (kek coklat). Jika begini, tidak perlu alas dengan kertas kalis minyak.
– Acuan silikon tidak perlu dilenser tetapi suhu ketuhar tidak boleh terlalu tinggi. Jadi, lebih sesuai untuk kek yang ingin dikukus.

Menentukan kek sudah masak
– Cucuk kek dengan lidi di bahagian paling tebal kemudian tarik keluar. Jika lidi licin, bermakna kek sudah masak.
– Tekan sedikit bahagian tengah kek. Jika ia tidak meninggalkan kesan lekuk, bermakna kek telah sempurna.
– Lazimnya, keliling kek akan nampak keperangan dan agak kecut (ruang kecil di antara kek dan tin pembakar).
– Jika bahagian permukaan kek keperangan sebelum kek masak, tutup longgar dengan kertas aluminium.

The post Rahsia Hasilkan Kek Sedap dan Gebu appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment