Elakkan Ini Bila Anda Sedang Gawat

Oh, zaman gawat. Sedia maklum dan semua pun sedang terasa, keadaan ekonomi yang gawat, belanja terasa mahal, dan perlunya berjimat cermat dengan rapi dan ‘ketat’.

jelita panduan masa gawat

Jika dulu boleh makan luar hampir setiap minggu, tapi kini, kena belajar menahan nafsu, masak sendiri di rumah pun tidak boleh membazir dengan sewenang-wenangnya. Selagi boleh, kurangkan bermewahan dan hanya berbelanja (bukanlah sampai dilarang) bila perlu saja. Namun, ada banyak godaan di luar yang akan cuba mempengaruhi anda agar mencuba teknik bagi menambah wang. Dan sebilangannya, berisiko tinggi, tidak fasal-fasal anda pula yang lebih teruk kerugian di kemudian hari.

Disebabkan keadaan kewangan sekarang tidak begitu sihat, cara anda berbelanja duit sedia ada kenalah sesihat boleh. Kalau boleh, elakkan perkara-perkara yang disenaraikan seperti berikut:

1. Elak ada SATU saja sumber pendapatan. Melainkanlah gaji anda lebih pada cukup untuk menampung segala perbelanjaan, tetapi jika hingga cukup-cukup makan, nak bayar insurans pun terasa perlu berkira, tidak salah untuk mempunyai pendapatan sampingan. Dengan skil anda yang sedia ada, apa kata cuba jadikannya sebagai sumber pendapatan. Tetapi ingat, janganlah sampai terjejas produktiviti kerja sedia ada ya. Jika dapat tahu dek jabatan sumber manusia pejabat anda, tentu-tentu ada kena surat amaran. Contoh kerja anda boleh buat adalah menjadi freelancer kerana banyak syarikat yang tidak mahu ‘mengikat’ pekerja baru jadi mencari opsyen freelancer yang sudah pasti bayarannya jauh lebih murah daripada menggaji kakitangan. Buka opsyen anda, risik peluang yang ada dan berterus-terang setakat mana anda boleh berikan komitmen terhadap projek sampingan itu.

Contoh lain, anda boleh cuba menjadi pemandu Uber atau Grabcar pada hari tidak bekerja. Atau jika ada kepandaian memasak, boleh tawarkan menu sarapan untuk rakan pejabat. Sekali-sekala, bila ada tempahan, adalah dapat pendapatan sampingan.

2. Elak jadi pekerja pemalas. Dalam waktu kritikal ini, banyak syarikat mungkin terpaksa menggunakan opsyen mengurangkan tenaga operasi. Pada masa inilah, barisan majikan akan melihat prestasi kakitangan. Yang mana ada potensi untuk pikul banyak tanggungjawab dan mampu penuhi produktiviti, pasti yang itu disimpan lama. Manakala, yang kuat berborak, pergi solat pun sehingga sejam, makan tengahari melewati waktu ditetapkan, bersikap negatif, pasti akan jadi sasaran dan mungkin dimasukkan ke dalam senarai ‘bakal dibuang.’

3. Elak gunakan duit VSS atau EPF untuk meniaga. Memang ada banyak perniagaan yang berjaya, walaupun sekecil-kecil perniagaan. Tetapi jika anda gelojoh dan tidak mengambil kira risiko, jangan terkejut jika pelaburan jadi kecundang. Dalam 1,000 perniagaan mungkin segelintir saja yang benar-benar berjaya. Malah, jenama besar seperti Fashion Valet sendiri pernah berdepan waktu mencabar sebelum ia dapat mencapai kejayaan hari ini. Jika mahu berniaga kecil-kecilan, cuba dengan modal RM2,000 terlebih dulu, biar ada simpanan untuk hari-hari yang memudaratkan.

4. Elak memilih kerjaya. Ini nasihat untuk bakal graduan atau graduan yang sedang mencari kerja. Kalau boleh, memanglah mahukan gaji berangka RM3,000 ke atas. Tapi pada zaman gawat ini, sukar untuk bermula dengan tangga gaji segempak itu. Anggaplah dua ke tiga tahun kerjaya permulaan ini adalah untuk anda menimba pengalaman. Biarpun gaji kecil, tetapi ia boleh jadi batu loncatan untuk cuba kerja lebih hebat selepas ini. Lagipun, anda sendiri lihat dalam tawaran kerja “Perlukan pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun.” Itu untuk gaji yang lebih besar. Pengalaman tetap emas ya.

5. Elak masuk skim cepat kaya. Ini sangat berbahaya! Jika tawaran dibuat berbunyi terlalu hebat, terlalu sukar dipercayai, awas dengan keputusan anda. Pada masa ini, ada berlambak skim cepat kaya bertopengkan MLM atau pelaburan tanpa risiko. Takut esok, bila mahu sangat cepat kaya, cepat pula jatuh kedana.

Foto: INGIMage

The post Elakkan Ini Bila Anda Sedang Gawat appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment