Kes pecah masuk serta peminat fanatik semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Kini tiba giliran kediaman Miranda Kerr pula diceroboh masuk!
Sebelum ini dunia hiburan dikejutkan dengan berita Kim Kardashian dirompak di Paris, Bella Hadid diangkat peminat fanatik dan terbaru bekas model Victoria’s Secret pula yang berada diambang risiko bahaya.
Pada 14 Oktober lalu kediaman milik Miranda di Malibu, California telah dipecah masuk oleh seorang penceroboh yang kini telah dikenal pasti iaitu Sean Haywood yang akhirnya ditembak, manakala seorang pengawal peribadi ditikam pada bahagian mata.
Sean telah ditangkap pengawal ketika dia didapati memanjat masuk pagar kediaman supermodel itu. Arahan pengawal yang mengarahnya untuk berbaring di atas tanah gagal pabila Haywood bertindak menikam mata pengawal tersebut dengan sebilah pisau yang diambil dari uniform pengawal berkenaan dan seterusnya menyebabkan dirinya ditembak beberapa kali pada bahagian dada dan bahu.
Ketika pertelingkahan tersebut berlaku, saksi yang menyaksikannya terus menghubungi talian kecemasan untuk bantuan. Kedua-dua mereka terus dibawa ke hospital dan dikatakan masing-masing dalam keadaan stabil.
Yang mengejutkan lagi, laporan media antarabangsa turut mendapati bahawa Haywood meninggalkan sepucuk surat cinta di kediaman tersebut dua hari sebelum insiden berdarah itu.
Haywood dikatakan menghantar sendiri surat berkenaan kepada seorang pekerja Miranda di kediaman berkenaan. Surat tersebut dikatakan mengandungi ungkapan-ungkapan yang pelik dan tak masuk akal.
Pekerja Miranda tersebut kemudiannya bertindak memaklumkan pada pengawal dan disebabkan itu sistem kawalan serta merta diketatkan. Menurut jiran Miranda, model tersebut baru sahaja beredar dari kediamannya sebelum insiden tersebut berlaku.
Laporan terkini mendapati Haywood merupakan seorang yang mengamalkan kepercayaan purba dan dia juga baru sahaja memberikan gelaran pada dirinya sebagai Eros Ra Sunandra yang berkaitan dengan ketuhanan Greek.
Lebih menakutkan, dia juga mengumpul gambar-gambar Miranda di dalam sebuah fail secara online dan mengikuti setiap akaun media sosial model berkenaan.
Haywood ketika ini ditahan di Men’s Central Jail di Los Angeles dan mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan. Ikat jamin buat Haywood ditetapkan pada amaun US$1,050,000 dan dia boleh dihukum penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
The post Penceroboh Kediaman Miranda Kerr Tinggalkan Surat Cinta Dua Hari Sebelum Insiden Tikam-Tembak appeared first on EH!.
0 comments :
Post a Comment