Berpantang bukan mudah seperti dijangkakan kerana banyak perkara yang perlu dititikberatkan dan dilakukan si ibu bagi memastikan diri mendapatkan rehat secukupnya untuk kembali pulih selepas bersalin. Selain itu, penjagaan si kecil juga perlu dipastikan sempurna.
Bagi mereka yang masih mempunyai ibu, pasti anda tidak terlalu risau untuk melalui proses berpantang. Tetapi bagi yang perlu berpantang sendiri, banyak perkara yang perlu mereka ambil tahu. Paling penting dia perlu ada ilmu yang cukup mengenai proses berpantang serta perlu membuat persediaan yang lengkap sebelum mula berpantang. Ini penting bagi memastikan segala amalan berpantang dapat dilakukan dengan sempurna.
Berikut antara amalan berpantang asas yang perlu si bakal ibu tahu:
Mandi daun
Mandian herba atau mandi daun untuk mengembalikan kesegaran badan serta membantu pengaliran darah, mengeluarkan angin, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan awet muda. Selain merebus daun herba segar, anda juga boleh merebus uncang daun herba yang mudah didapati di pasaran kini.
Bertungku
Boleh menggunakan batu sungai atau besi padu yang dipanaskan. Tungku akan dibungkus dengan daun mengkudu atau sireh bagi mendapatkan aroma yang cukup wangi untuk menenangkan si ibu. Amalan ini baik untuk membuang angin, mengecutkan urat dan melancarkan peredaran darah.
Berurut
Berurut sekurang-kurangnya tiga hari bagi memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membersihkan kulit mati dan mempercepatkan pengeluran darah nifas.
Berbengkung
Ini penting untuk mengempiskan perut dan mengembalikan bentuk tubuh kepada yang asal. Seeloknya sapu minyak kayu putih atau losen halia sebelum memakai bengkung. Ini elok untuk mempercepatkan proses pengeluaran darah kotor.
The post Asas Amalan Berpantang appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment