Kumpulan Search mengumumkan menarik diri daripada meneruskan kerjasama dengan Afjets Sdn Bhd iaitu syarikat penganjur konsert khas sempena ulang tahun ke-35 band itu.
Vokalisnya Amy berkata, keputusan itu dibuat selepas Search kecewa dengan sikap tidak profesional Afjets dalam kemelut membabitkan pemain dramnya, Yazit.
“Afjets menjadi punca kemelut yang berlaku antara kami dan Yazit. Sepatutnya mereka bersikap profesional dan dapat mengawal situasi ketika berdepan isu ini.
“Tetapi perkara yang sebaliknya berlaku apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Afjets, Amrul Nizar Anuar mengeluarkan kenyataan mengelirukan sehingga menimbulkan fitnah terhadap Search.
“Kecewa dengan apa yang berlaku, kami mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kerjasama ini,” kata Amy pada sidang media yang turut hadiri peguam yang mewakili kumpulan itu, Yusmadi Yusoff.
Amy berkata, notis pembatalan kerjasama seperti yang tercatat dalam memorandum persefahaman (MoU) sudah dihantar Search melalui firma peguamnya, Fahda Nur & Yusmadi pada 19 Mei lalu.
Beliau berkata, Search bagaimanapun masih bersemangat untuk meneruskan konsert istimewa meraikan ulang tahun band serta mengalu-alukan penaja baharu yang berminat.
Pada sidang media itu, Yusmadi turut mempersoalkan kredibiliti Afjets kerana gagal mematuhi tanggungjawab seperti yang termaktub dalam MoU berhubung pengendalian soal pengurusan dan kewangan Konsert Search 35 tahun.
0 comments :
Post a Comment