Penyanyi, Nurul Depp terkilan apabila masih ada individu yang gemar menghakimi kehidupannya, seterusnya menghentam beliau di laman sosial.
Selain membuatkan dirinya geram, Nurul pada masa sama pelik dengan individu terbabit yang seakan-akan kurang senang dengannya sehingga menggambarkan rasa benci pada cara kehidupannya.
“Saya sendiri tidak tahu macam mana hendak menterjemahkan perasaan saya apabila berbicara mengenai hal itu. Malah, ia juga bukanlah kali pertama berlaku. Nasib baik saya banyak belajar untuk bertenang dan tidak mempedulikan mahupun memaafkan orang sebegini.
“Sedikit terkejut kerana cara individu terbabit menghentam saya seolah-olah beliau mengenali saya luar dan dalam. Di Malaysia, masih ramai orang yang suka menilai atau menghakimi orang,” katanya.
Minggu lalu, Nurul memuat naik status mengenai komen seorang individu yang mengkritik kononnya beliau tidak mengamalkan agama Islam dengan betul. Dirinya juga dituduh tidak mendidik suaminya, Eric Depp, ke jalan yang benar.
Penyanyi itu bagaimanapun membalas komen terbabit secara profesional dan menjelaskan, hanya Allah yang mampu menghakimi amalannya.
“Saya hanyalah manusia seperti kamu. Saya yakin kamu juga berperasaan sama seperti saya. Saya melakukan kesilapan dan saya yakin kamu juga berbuat begitu.
“Tetapi, siapalah saya untuk menghakimi kamu? Saya hanyalah seperti kamu. Tiada siapa yang dapat menghakimi saya, sebagaimana saya tidak boleh menghakimi kamu.
“Perbuatan baik kamu atau saya, biarlah Allah yang tahu. Dia akan menyimpan semuanya sehingga ke akhir waktu,” tulis Nurul.
Kata Nurul, beliau tidak kisah jika mendapat komen yang mengkritik dirinya secara membina, tetapi kebanyakan individu dilihatnya gemar mengutuk dengan menggunakan bahasa kasar.
“Saya rasa golongan seperti itu perlu ditegur. Cara mereka salah dan bukannya mengikut aturan menegur sesama Islam.
“Kalau ingin melihat orang berubah memakai tudung dan menjadi seperti mereka, kena ada caranya. Bayangkan jika perkara seperti ini berlaku kepada yang kurang didikan agama? Berdosa individu itu kerana melakukan kutukan sedemikian,” ujarnya.
sumber: BH Online
0 comments :
Post a Comment