Persediaan Awal Sebelum Bersara

Bersara menyeronokkan bagi mereka yang ingin berehat panjang. Namun, tidak bagi individu yang kuat bekerja. Bagi yang merancang mahu terus membina kerjaya selepas bersara, ini mungkin dapat membantu anda. Jika mula merancang dari awal tidak akan ada masalah buntu, mati akal atau bosan apabila sudah bersara nanti.

Gambar: Shutterstock

  1. Buat Perancangan Awal

Perancangan awal boleh membantu individu yang akan bersara untuk berfikir  dan merancang sedikit demi sedikit mengenai apa yang ingin dikecapinya sepanjang waktu persaraan. Ramai yang berfikir sangat seronok apabila bersara kerana tidak lagi perlu ke pejabat, tidak perlu memikul tanggungjawab kerja dan dapat meluangkan masa melakukan apa jua aktiviti yang dinginkan.

Ini memang benar, tetapi selepas beberapa bulan ramai yang mendapati diri mereka mula berasa bosan kerana tidak mempunyai apa-apa kerja atau aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengisi waktu yang banyak terluang.

Dengan adanya perancangan, seseorang individu itu akan dapat menilai apakah perkara yang membuat dirinya gembira atau penting bagi dirinya. Ini tidak bermaksud rancangan itu harus kekal sampai bila-bila.  Tidak mustahil separuh jalan akan ada idea baru yang akan menggantikan yang asal.

Bagus juga jika ada perancangan awal ini, ia membolehkan seseorang membuat kajian mengenai perkara yang boleh dilakukan atau bertanyakan kepada rakan lain yang mungkin sudah bersara atau akan bersara dalam masa yang sama akan apakah yang mereka lakukan. Ini akan memberi gambaran dan idea mengenai apa yang selalunya dilakukan golongan yang sudah bersara. Secara tidak langsung membantu seseorang itu mengagak mengenai  pengalaman bersara yang bakal dilalui kelak.

2. Kenalpasti perniagaan atau aktiviti yang ingin dilakukan

Bagi individu yang merasakan inilah waktunya untuk beliau menceburi bidang perniagaan, kenal pasti apakah perniagaan bersesuaian yang boleh dijalankan. Bukan semua jenis perniagaan sesuai dengan setiap individu. Jadi, seseorang perlu tahu apakah kelebihan, pengalaman dan minat mendalam yang ada pada dirinya yang boleh menyumbang kepada perniagaan yang diceburi.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu tidak berminat dan tidak mahir berjahit tetapi ingin memulakan perniagaan menerima tempahan menjahit, ini agak sukar (sekiranya individu itu tidak mendapat pertolongan daripada pakar) kerana dia tidak berminat langsung dan kerja yang dilakukan tanpa minat tidak akan dapat bertahan.

Berbeza bagi seseorang yang mempunyai minat mendalam untuk menjahit cuma tidak berkemahiran. Ini tidak menjadi masalah kerana kemahiran itu boleh dipelajari dan minat mendalam akan menjadikannya bersungguh-sungguh mendalami ilmu jahitan sehingga boleh menjadi pakar.

Mungkin ada yang langsung tidak berminat untuk berniaga tetapi berminat untuk melakukan sesuatu aktiviti. Kenal pasti apakah aktiviti yang ingin dilakukan itu.

Dengan mengenalpasti apakah perniagaan atau aktiviti yang boleh dilakukan ia membantu seseorang mendapatkan sumber yang diperlukan untuk beliau melakukan apa yang sudah dirancang.

3. Fleksibel

Tidak semua yang dirancang bakal berjalan seperti yang diinginkan. Disebabkan itu, perlu ada ‘back up plan’. Ianya boleh mempersiapkan diri seseorang untuk sebarang kebarangkalian. Ini juga perlu disertakan dengan sikap fleksibel kerana tanpa sikap itu seseorang akan mudah berasa bosan, putus semangat atau cepat berasa marah apabila sesuatu perkara tidak berjalan seperti yang dirancang.

Ia turut mempersiapkan diri seseorang untuk menjadi lebih bersedia menerima realiti apabila perniagaan atau aktiviti yang disangkakan sangat menyeronokkan tidaklah seperti yang diharapkan. Perniagaan atau akiviti itu tidak silap namun mungkin memerlukan sedikit pelarasan atau perubahan pada idea yang sedia ada.

Tidak kiralah apa yang dilakukan (atau bagi mereka yang memilih untuk tidak melakukan sesuatu), sudah pasti waktu persaraan bagi setiap individu itu adalah satu tempoh yang sangat berharga. Buatlah apa sahaja yang menggembirakan dan menenangkan hati dan pastinya itu sudah cukup untuk mengisi waktu yang banyak terluang kelak.

The post Persediaan Awal Sebelum Bersara appeared first on Jelita.

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments :

Post a Comment