Jika berbicara mengenai belon udara panas, imej yang terhasil di minda pasti panorama bukit atau gunung berlatarbelakangkan cahaya matahari terbenam di lokasi eksotik di seluruh Eropah. Sama seperti imej yang kerap dilihat di dalam Pinterest mahupun Tumblr.
Bahkan di Malaysia kini anda juga dapat merasai pengalaman yang sama. Setiap tahun langit biru di persekitaran Putrajaya berubah wajah. Belon udara panas pelbagai warna dan bentuk mula menghiasi pemandangan yang menghasilkan imej cukup mempesonakan.
Kemeriahan Fiesta Belon Udara Antarabangsa Putrajaya (PIHABF) yang kini memasuki usia lapan tahun menawarkan kelainan, dan ternyata festival anjuran AKA Balloon Sdn Bhd yang dikendalikan oleh dua beradik Izzati dan Atiqah Khairudin mula membuahkan hasil.
Saya berpeluang untuk bertemu dan merakam wajah di sebalik fiesta yang kian menjadi bualan ramai. Di usia 29 tahun, Izzati Khairudin menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd dan salah seorang pengarah untuk My Balloon Adventure.
Manakala Atiqah Khairudin, 27 tahun pula bertindak sebagai Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam untuk syarikat yang sama. Menurut Izzati, sebelum dia mengambil alih AKA Balloon bersama adiknya Atiqah, dia pernah menjadi seorang konsultan pemegang amanah malah juga pernah bekerja separuh masa di dalam industri fesyen mewah di bawah label Fendi, Loewe serta Hermes.
Atiqah pula bekerja di agensi perhubungan awam namun sejak di zaman universiti lagi, dia sememangnya aktif bekerja separuh masa untuk event companies yang menganjurkan konsert dan maraton.
LESEN BELON UDARA PANAS
Amat membanggakan pabila dua wanita muda ini berjaya menjadi wanita pertama negara yang memiliki lesen penerbangan peribadi (PPL) yang membolehkan mereka mengemudi belon udara panas. Menurut Atiqah, mengambil lesen ini adalah sesuatu yang diidamkan buat masa yang lama.
“Kami membesar dengan belon udara panas, malah arwah bapa kami juga merupakan lelaki pertama Malaysia yang mengemudi belon panas. Selepas tujuh tahun bekerja on ground di PIHABF, kami akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil lesen di Sepanyol tahun lepas,” katanya lagi.
Bagi sesetengah individu, mengambil alih syarikat merupakan tanggung jawab yang besar dan penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
Dengan nada yang tenang, ujar Atiqah, “Arwah ayah meninggal akibat sakit jantung pada tahun 2012 namun kami telah pun bekerja di bawah bimbingannya sebelum itu. AKA Balloons ditubuhkan pada tahun 1995 oleh arwah ayah, Kapten Khairudin Abdul Rani bersama beberapa rakan kongsi. Selepas arwah ayah meninggal, semuanya menjadi huru-hara dan kami agak tertekan. Namun Alhamdulillah, kami dapat menyambung kembali apa yang kami lakukan sebelum ini dengan lancar.”
Saya ujar kepada mereka bahawa saya tidak tahu apa-apa mengenai belon udara panas mahupun lesen pengemudiannya. Mereka mengambil lesen mengemudi belon udara panas di Sepanyol selama sebulan dan perlu melengkapkan ujian intensif 16 jam yang mana ia terbahagi kepada dua penerbangan solo.
Ujar Atiqah, “Lesen mengemudi belon udara panas hampir sama dengan mana-mana ujian sistem penerbangan. Kami perlu melakukan pemeriksaan perubatan, kemudian hadiri kelas penerbangan dan kelas teori.” “Dalam kelas teori pula kami perlu belajar lima subjek iaitu Air Law, Huma Performance, Balloon Specification, Navigation dan Meteorology,” tambah Izzati.
“Dalam belon udara, ia hanya anda dan penunu. Kami perlu memahami suhu dan udara sekeliling. Di Malaysia, cuaca pula panas selepas 9 pagi. Arus udara panas boleh menyebabkan belon udara terus naik ke atas,” kata Atiqah. Tambah Izzati pula, “Jika terlalu panas, amat tidak stabil untuk kami mendarat. Oleh kerana itu, kami hanya menerbangkan belon udara panas ketika matahari terbut dan sejam sebelum matahari terbenam kerana suhu mula menurun.”
FIESTA BELON UDARA
Bagaimana dengan penerimaan terhadap PIHABF, soal saya dan jawab Atiqah “Sambutan memberangsangkan namun dengan pengumuman El Nino tahun ini, ia sedikit kelam kabut. Target market kami adalah keluarga dan kami dapati orang ramai kini lebih pintar mengenai jadual fiesta jadi mereka hanya hadir pada waktu siang dan malam untuk melihat belon udara panas.”
Izzati berpendapat industri belon udara panas akan lebih berkembang di Malaysia.
“Selagi kami masih berupaya untuk menganjurkan pesta belon bagi mengekalkan kehadiran dan tarikan belon, sudah semestinya akan ada yang ingin menceburi kegiatan ini.”
“Sejak fiesta Putrajya diadakan, kami menyaksikan kehadiran meningkat sepanjang tahun, terutamanya pengunjung yang kembali saban fiesta dan ingin turut serta dalam acara belon udara panas. Tambahan pula, ada yang telah menjadi krew berpengalaman di luar negara setelah lama menjadi sukarelawan di fiesta kami,” jawab Atiqah.
Mana-mana syarikat yang ditubuhkan pasti memiliki persaingan. Situasi ini bukan sesuatu yang dapat dielakkan dengan mudah. Atiqah berpendapat bahawa persaingan adalah sihat dan sekurang-kurangnya mengingatkan kepada dua beradik ini untuk tidak kekal terlalu selesa.
“Dahulu arwah ayah sering berpesan, kita perlu berkawan dan mempunyai hubungan baik dengan lawan kita. Belon panas adalah industri yang sangat kecil jadi kami tidak boleh terlalu tamak dan hanya mahu mendominasi segalanya. Kami perlu belajar untuk bekerjasama kerana mungkin suatu hari nanti, kami akan memerlukan pertolongan mereka,” ujar Izzati.
Bagaimana pula anda berhadapan dengan kritikan negatif mengenai kerjaya anda?
“Saya rasa sebagai seorang wanita, kita agak beremosi. Jadi saya sering menasihati mereka di sekeliling saya untuk banyakkan bersabar dan tidak bertindak secara melulu. Sebelum membuat sesuatu keputusan, kita perlu berfikir secara rasional dan bukan mengikut perasan,” jelas Izzati.
Lokasi kegemaran anda sepanjang mengemudi belon udara panas?
“Masih lagi di Sepanyol kerana mereka memiliki bahagian utara, barat, lautan serta rupa bumi berbatu batan. Sewaktu kami menjalani latihan di Sepanyol, pengajar kami merupakan seorang juruterbang komersial, jadi setiap hujung minggu kami berpeluang untuk bekerja di sebagai anak kapal di bawah kendaliannya. Saya juga gemarkan kawasan laut di Costa Brava,” ujar Atiqah.
Izzati pula menambah, “Saya paling gemar ketika kita menyeberangi gunung di Pyrenees. Ia merupakan penerbangan paling tinggi yang saya pernah lakukan iaitu pada 8,000 kaki.”
Industri belon udara panas dilihat sebagai industri yang didominasi oleh lelaki dan bukan calang-calang wanita dapat menembus industri ini dan membina nama sendiri.
Bagaimana anda mencabar situasi ini?
“Tidak dinafikan ia industri dominasi lelaki, tetapi bukan lelaki sahaja yang dapat melakukannya! Pengendalian belon cuma memerlukan kerja keras dan tenaga fizikal, terutama sekali bagi mengangkat peralatan yang berat. Kita akan berpeluh setiap masa, jadi ia bukanlah sesuatu perkara yang glamor atau selesa untuk dilakukan. Ini semua terletak kepada minat masing-masing. Secara jujurnya, akhir-akhir ini saya memang tidak akan melepaskan peluang untuk terbang,” kongsi Izzati.
Menurut Atiqah pula, baginya menjadi seorang wanita dalam industri ini merupakan satu kelebihan.
“Untuk mengendalikan belon kami memerlukan satu pasukan yang kuat apatah lagi pabila perlu mengeluar dan memasukkan kembali belon di atas pacuan empat rosa. Dalam situasi ini, kekuatan mereka lebih terserlah dan amat dialu-alukan. Saya rasa tiada perbezaan antara juruterbang lelaki dan perempuan sama seperti memandu kereta.”
Dua beradik ini saya amat kagumi dan kira berjaya untuk melakukan sesuatu yang berbeza walaupun masih di bawah usia 30 tahun. Dedikasi dan kerja keras untuk mencapai impian boleh menjadi kenyataan dan dua wanita ini sesuai sekali menjadi contoh dan aspirasi buat anak muda di luar sana yang masih belum ada hala tuju dalam hidup.
“Dahulu arwah ayah sering berpesan, kita perlu berkawan dan mempunyai hubungan baik dengan lawan kita. Belon panas adalah industri yang sangat kecil jadi kami tidak boleh terlalu tamak dan hanya mahu mendominasi segalanya.”
The post Kenali Wanita Pertama Malaysia Yang Punya Lesen Memandu Belon Udara Panas appeared first on EH!.
0 comments :
Post a Comment