Aktres jelita, Anzalna Nasir mengaku sedang menyiapkan diri untuk berhijab, walaupun tidak meletakkan sasaran bila ia bakal dilaksanakan.
Dalam sidang media sempena pelancaran Anzel Scarf by Anzalna baru-baru ini, Anzalna memberitahu, antara sebab dia memulakan bisnes tudung kerana sedang belajar untuk memakainya dan lambat-laun akan berhijab sepenuhnya. “Saya bermula dengan bisnes menjual produk penjagaan rambut kemudian memilih untuk menjual tudung kerana menyedari yang pasaran tudung begitu meluas pada masa ini. Tetapi, bila memiliki jenama skarf sendiri, Anzalna sedar perlu ke arah itu (berhijab) kerana tahu juga ianya wajib,” katanya dalam sidang media berkenaan yang turut dihadiri Datuk Aliff Syukri dan isterinya, Datin Shahida Mohd Rashid.
Anzalna yang baru saja mendirikan rumah tangga memberitahu yang bisnes menjual tudung antara cara untuk dia memperoleh pahala kerana dengan mengeluarkan tudung, peminat dan sesiapa saja membelinya akan memakai. “Saya masih belajar…” tambahnya.
Menurut Anzalna lagi, dia memilih untuk bekerjasama dengan Aliff kerana kagum dengan pengalamannya dalam bidang pemasaran dan perniagaan. Malah, setakat ini, Anzel Scarf sudah memiliki 60 stokis di seluruh negara dan jualan setakat bulan lalu saja sudah mencecah RM500,000.
Tudung Anzel Scarf didatangkan dalam dua rekaan utama dengan rona polos dan bercetak. Setiap tudung semi-instant ini dijual pada harga RM69 (polos) dan RM79 (bercetak) menerusi stokis yang sah. Malah, ia juga boleh dilabuhkan hingga dibawa untuk solat.
Pada masa ini, tudung dijual Anzel Scarf lebih mensasarkan kepada pasaran mass dan Aliff berkata, tidak menolak kemungkinan bakal mengeluarkan tudung yang lebih eksklusif selepas ini.
“Sedia maklum yang tudung adalah item fesyen yang paling diminati kerana sentiasa ada permintaan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam acara yang sama, koleksi Abang Terlajak Laris turut membariskan koleksi lebaran yang istimewa, bukan saja untuk sang pria malah ada pilihan jubah dan baju kurung untuk wanita serta kanak-kanak.
The post Anzalna Persiap Diri Untuk Berhijab appeared first on Jelita.
0 comments :
Post a Comment